GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Polis menumpaskan sindiket perjudian dalam talian selepas menahan enam individu warga China termasuk dua wanita dalam serbuan di Mont Kiara, di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, serbuan dilakukan di sebuah premis pada 7 malam hasil risikan dan aduan awam.

"Dalam serbuan berkenaan, polis menahan empat lelaki dan dua wanita warganegara China berusia antara 20 hingga 30 tahun.

"Polis merampas tiga komputer riba pelbagai jenama; 10 telefon pintar dan pelbagai peralatan komputer," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Anuar berkata, siasatan mendapati sindiket ini menjalankan aktiviti perjudian atas talian bagi pasaran China.

Menurutnya, semua individu yang ditahan dibawa ke IPD Brickfields untuk pemeriksaan dan proses dokumentasi.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 39(b) serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1963.

"Orang ramai dinasihatkan supaya tidak terbabit dengan aktiviti perjudian haram dan sekiranya mempunyai sebarang maklumat, diminta menghubungi Hotline Polis Brickfields di talian 032297 9222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau balai polis berhampiran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Februari 2021 @ 8:56 PM