ARSENAL mengharapkan West Ham dapat menumbangkan City. FOTO Reuters
ARSENAL mengharapkan West Ham dapat menumbangkan City. FOTO Reuters
Reuters

London: Pengurus Arsenal, Mikel Arteta berharap bekas pengurusnya, David Moyes akan membantu mereka dalam misi merangkul gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) apabila West Ham United berkunjung ke Manchester City pada hari terakhir liga Ahad ini.

Arsenal yang akan berdepan Everton di laman sendiri ketinggalan dua mata di belakang City menjelang hari terakhir liga.

Ketika Arsenal wajib menang untuk berpeluang muncul juara, City mampu merekodkan gelaran keempat jika berjaya menewaskan West Ham.

Moyes menandatangani Arteta pada 2005 ketika dia menjadi pengurus Everton, membawa pemain tengah Sepanyol itu ke England di mana dia menghabiskan baki kerjayanya sebagai pemain sebelum bergelar pengurus.

"Dia memainkan peranan penting dalam kerjaya saya, sebagai pemain bola sepak dan individu. Dia boleh membantu kami memenuhi impian kami dan impian peribadi saya untuk memenangi EPL," kata Arteta kepada pemberita, hari ini.

"Satu-satunya perkara yang kami bincangkan adalah untuk memberi diri kami peluang menjalani hari yang indah. Ia tiada mustahil, apa saja boleh berlaku dalam bola sepak.

"Kami perlu menang, kemudian berharap West Ham membantu kami mencapai impian. Bahagian pertama itu terletak pada kami, itu satu-satunya perkara yang boleh kami fokuskan."

Kali terakhir Arsenal merangkul gelaran adalah pada musim 2003/2004 di bawah kendalian Arsene Wenger dengan rekod tanpa kalah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Mei 2024 @ 10:46 PM