LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Polis menahan dua lagi suspek kejadian merusuh di sebuah restoran di Jalan Tun Sambanthan, Brickfields kelmarin dalam tangkapan berasingan di sekitar ibu negara, malam tadi dan awal pagi ini.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, suspek yang ditahan berusia 24 dan 25 tahun menjadikan sembilan orang ditahan setakat ini.

Menurutnya, suspek ditahan di Jalan Sri Sentosa, Taman Sri Sentosa jam 11.30 malam kelmarin.

"Suspek mengaku terbabit dalam kejadian itu.

"Kesemua tangkapan dilakukan anggota Bahagian Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) dan Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan iaitu merusuh menggunakan senjata," katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, sekumpulan 11 hingga 12 individu tidak berpuas hati apabila tidak dibenarkan untuk membuat pesanan makanan di restoran terbabit.

Ini kerana pengurus restoran sudah mahu menutup operasi perniagaan pada jam 10 malam bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Berita berkaitan

Mengamuk sebab tak dapat makan

Polis tahan lima suspek kes merusuh di restoran

Rusuhan: Polis sudah tangkap tiga orang [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Mac 2021 @ 12:28 PM