Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Kesibukan sebagai petugas hadapan menjaga keselamatan ketika Covid-19 masih melanda tidak menghalang warga Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini, melakukan kerja amal mengagihkan bakul makanan untuk golongan terkesan pandemik itu.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, sejak 3 Julai lalu secara keseluruhan pihaknya sudah mengagihkan 1,203 bakul makanan hasil sumbangan orang ramai dan tabung surau IPD Dang Wangi.

Beliau berkata, Food Bank atau bank makanan di IPD Dang Wangi dibuka setiap hari untuk mana-mana individu terkesan.

"Mereka terkesan boleh datang ke balai atau mereka boleh menghubungi kita pada bila-bila masa 24 jam.

"Kita amat prihatin kepada golongan terjejas akibat pandemik termasuk yang kehilangan punca pendapatan seperti sudah tiada pekerjaan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas hadir penyerahan sumbangan oleh Masjid India Business Association (Miba) dan IPD Dang Wangi kepada pihak terkesan dengan Covid-19, di perkarangan IPD itu, hari ini.

Dalam program itu, Miba menyumbangkan sebanyak 200 bakul makanan kepada IPD Dang Wangi untuk diagihkan kepada golongan memerlukan.

Sementara itu, Mohamad Zainal berkata hari ini juga diadakan serah terima van jenazah yang dibeli pihaknya menggunakan duit surau hasil sumbangan orang ramai.

"Van jenazah ini untuk keperluan IPD Dang Wangi dan boleh digunakan ahli kariah berdekatan sekitar Dang Wangi," katanya.

MOHAMAD Zainal (dua dari kiri) bersama Ameer Ali (kiri) menyampaikan bakul makanan kepada orang ramai di IPD Dang Wangi. FOTO Mohd Yusni Ariffin
MOHAMAD Zainal (dua dari kiri) bersama Ameer Ali (kiri) menyampaikan bakul makanan kepada orang ramai di IPD Dang Wangi. FOTO Mohd Yusni Ariffin

Sementara itu, mewakili Miba, Pengarah Urusan Mydin, Datuk Dr Ameer Ali Mydin berkata walaupun kedai ahlinya di kawasan Masjid India ditutup dan sukar berniaga namun ada pihak lebih susah untuk dibantu.

"Ada yang lebih susah daripada kita. Sebab itu kita kumpulkan wang untuk beli barangan bantuan supaya dapat disalurkan kepada golongan terjejas teruk.

"Falsafah kami ialah mesti menolong sedaya upaya. Kami mencari rezeki halal di kawasan Masjid India, kawasan Dang Wangi antara lokasi yang paling berdekatan.

"Jadi kita kena tolong khususnya orang dekat dengan kita," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Julai 2021 @ 4:50 PM