ANTARA 73 pengunjung yang dikompaun kerana ingkar arahan PKPB.
ANTARA 73 pengunjung yang dikompaun kerana ingkar arahan PKPB.
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Seramai 73 pengunjung sebuah pusat hiburan di Jalan Kuchai Lama, Off Jalan Klang Lama di sini, dikompaun RM1,000 kerana ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), malam tadi.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, dalam serbuan 9.45 malam itu, polis turut menahan pengurus premis dan pasangan warga asing.

Menurutnya, serbuan dilakukan oleh sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields.

"Hasil pemeriksaan, seramai 73 pengunjung tempatan terdiri daripada 56 lelaki dan 17 wanita berusia antara 21 hingga 47 tahun ditahan.

"Semua pengunjung itu dikompaun RM1,000 setiap seorang kerana melakukan kesalahan di bawah Peraturan 11, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020," katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, beliau berkata, seorang lelaki warga China berusia 40 tahun dan seorang wanita warga Vietnam berusia 25 tahun yang juga pengunjung premis turut ditahan kerana melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63.

Katanya, polis kemudian menahan seorang pengurus premis iaitu lelaki berusia 40 tahun untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hiburan Wilayah Persekutuan 1992.

Beliau meminta orang ramai mempunyai sebarang maklumat mengenai aktiviti pusat hiburan dan jenayah supaya menyalurkannya dengan menghubungi IPD Brickfields di talian 03-22979222.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Disember 2020 @ 5:06 PM