Mohamed Farid Noh
farid_noh@bh.com.my


Johor Bahru: Bau busuk yang dihidu penduduk Kampung Baru Sri Aman, Seelong, Kempas, di sini, dikenal pasti sebagai sisa buangan kimia berbahaya jenis Methyl Alcohol serta Metanol.

Pengarah JBPM Johor, Datuk Yahaya Madis berkata, dua sisa buangan industri berbahaya itu dikesan pihaknya selepas melakukan ujian menggunakan peralatan khas, Gas Mate yang dilakukan anggota Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) Kempas dan Melaka, di sepanjang tali air dan Sungai Tawakal, di kampung itu.

Katanya, pemeriksaan di sepanjang satu kilometer tali air Sungai Tawakal mendapati kesan tompokan dua sisa buangan kimia itu terlekat di permukaan selain kawasan tebing rumput di situ.

"Bomba mendapati dua sisa buangan kimia iaitu Methyl Alcohol dan Metanol mengalir di tali air Sungai Tawakal menuju Sungai Pandan di Kampung Baru Sri Aman menjadi punca penduduk kampung sesak nafas.

"Sebaik menerima panggilan jam 10.02 malam tadi, bomba bertindak pantas dengan membuat pengepungan di kawasan tali air menggunakan 'oil boom' bagi menyekat sisa buangan itu terus mengalir.

"Sisa buangan berkenaan kelihatan seperti minyak hitam dan berbau busuk.

"Empat wanita mengalami sesak nafas dan dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan Hospital Sultan Ismail (HSI) bagi rawatan kecemasan.

ANGGOTA Hazmat melakukan siasatan susulan tumpahan cecair di kawasan anak sungai sehingga menyebabkan penduduk sesak nafas di Kampung Baru Sri Aman, Seelong. FOTO Bernama
ANGGOTA Hazmat melakukan siasatan susulan tumpahan cecair di kawasan anak sungai sehingga menyebabkan penduduk sesak nafas di Kampung Baru Sri Aman, Seelong. FOTO Bernama

"Sebagai tindakan susulan, arahan pengosongan dikeluarkan sejauh satu kilometer radius daripada tali air dan sungai berkenaan membabitkan 102 penduduk daripada 25 keluarga yang ditempatkan di Balai Raya Kampung Sinaran Baru," katanya pada sidang media di lokasi kejadian.

Sementara itu, Yahaya berkata, keadaan di lokasi kejadian kini kembali terkawal selepas bau busuk pencemaran kimia berkenaan hilang selepas 12 jam kekal di udara kawasan kampung berkenaan.

Katanya, penduduk dibenarkan kembali ke rumah mereka menjelang petang ini, namun pemantauan berterusan akan dilakukan seramai 40 anggota bomba yang ditugaskan di sini.

Berita berkaitan

Bau busuk, kepulan asap dari tali air

Puluhan penduduk sesak nafas, loya

Dua wanita pengsan, lebih 100 penduduk dipindahkan

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 September 2021 @ 12:16 PM