KEPUTUSAN KPM untuk membenarkan pelajar Tingkatan Lima dan Enam hadir ke sekolah terlebih dahulu bagi memantau tahap kepatuhan serta keberkesanan SOP ditetapkan disambut baik pelbagai pihak. FOTO Arkib NSTP
KEPUTUSAN KPM untuk membenarkan pelajar Tingkatan Lima dan Enam hadir ke sekolah terlebih dahulu bagi memantau tahap kepatuhan serta keberkesanan SOP ditetapkan disambut baik pelbagai pihak. FOTO Arkib NSTP
Raja Noraina Raja Rahim

KETETAPAN Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk memberi keutamaan kepada pelajar kelas peperiksaan Tingkatan Lima dan Enam memulakan sesi persekolahan terlebih dahulu disambut baik pelbagai pihak.

Langkah itu dianggap bertepatan saranan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) supaya mengamalkan penjarakan sosial dengan jumlah pelajar memulakan persekolahan di tahap minimum, selain memastikan mereka yang akan menduduki peperiksaan awam itu tidak tercicir.

Presiden i-Guru, Mohd Azizee Hasan berkata, pihaknya dimaklumkan sesi persekolahan bagi pelajar calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dijangka bermula Jun ini.

Menurutnya, pelajar lain pula dijangka memulakan sesi persekolahan pada 2021.

Bagaimanapun, katanya, ia tertakluk kepada sebarang perubahan berdasarkan saranan daripada KKM dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"KPM akan membuat pengumuman dua minggu sebelum sesi persekolahan bermula. Guru-guru sudah pun diarah untuk kembali ke tempat pengajaran masing-masing sebagai persediaan awal.

"Walaupun pelajar Tingkatan Lima dan Enam akan dibenarkan (ke sekolah), tetapi pihak sekolah perlu mengambil kira aspek keselamatan dan kesihatan dengan melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat bagi mengelak berlaku penularan Covid-19 di sekolah. Mungkin jumlah pelajar dalam kelas dihadkan.

"Perlu juga diambil kira masalah pelajar dari segi pengangkutan dan sebagainya. Apa yang penting apabila sesi persekolahan dimulakan, pihak sekolah cukup persediaan, jelas mengenai SOP, pelajar patuh arahan dan ibu bapa memberi kerjasama yang baik," katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Amiruddin Awang turut menyokong keputusan KPM untuk membenarkan pelajar Tingkatan Lima dan Enam hadir ke sekolah terlebih dahulu bagi memantau tahap kepatuhan serta keberkesanan SOP ditetapkan.

Menurutnya, ia sebagai persediaan pelajar terbabit menghadapi peperiksaan SPM dan STPM yang menjadi penentu kemasukan ke universiti dan kerjaya mereka pada masa hadapan.

"Dari segi keciciran pelajaran itu tidak berlaku kerana pelajar masih meneruskan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) di rumah secara atas talian. Cuma pembelajaran tidak mengikut sukatan sebagaimana di sekolah tetapi proses PdP itu berjalan," katanya.

Manakala, Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Mohamad Ali Hasan pula berpendapat, sesi persekolahan perlu dimulakan secara berperingkat dengan keutamaan diberikan kepada pelajar yang akan menduduki peperiksaan awam.

Katanya, sekolah dan guru perlu membuat persiapan rapi daripada segi fizikal dan mental sebelum sesi persekolahan bermula.

"Setiap sekolah yang akan dibuka harus mengikut SOP misalnya mengurangkan jumlah pelajar di kelas, memasang tanda penjarakan sekurang-kurangnya satu meter dan pelajar diwajib memakai pelitup muka serta menjaga kebersihan. Selain itu, aktiviti luar kelas dan berkumpulan juga tidak dibenarkan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Mei 2020 @ 4:31 PM