SEEK Sau menerima sumbangan barangan keperluan asas daripada Dr Hanafi dan Dr Fariza. FOTO Rosman Shamsudin
SEEK Sau menerima sumbangan barangan keperluan asas daripada Dr Hanafi dan Dr Fariza. FOTO Rosman Shamsudin
Rosman Shamsudin


Slim River: "Beras di rumah saya hanya tinggal untuk sekali masak saja," kata warga emas, Lee Seek Sau, 65, yang tinggal sebatang kara di sebuah taman perumahan, dekat sini.

Dia berkata, sejak semalam dia mula risau kerana bekalan beras dan barangan keperluan lain di rumahnya hampir kehabisan.

"Saya tidak lagi bekerja kerana mempunyai masalah jantung dan terpaksa berjimat cermat menggunakan wang sebanyak RM200 sebulan yang diberikan oleh seorang individu prihatin.

"Keadaan ini menyebabkan saya terpaksa catu makanan sebagai langkah berjimat cermat," katanya ketika ditemui, dekat sini.

Menurutnya, keresahan itu bertukar gembira selepas rumahnya dikunjungi pasangan Dr Hanafi Yahya dan Dr Fariza Hanim Sahir yang terpanggil untuk membantu ketika dalam perjalanan menghantar bekalan makanan ke Kampung Sri Keledang.

Seek Sau berkata, dia memang terkejut dengan kehadiran pasangan doktor ke rumahnya ketika dia amat memerlukan bantuan.

"Inilah kuasa Tuhan, tanpa menceritakan masalah kepada orang lain namun tuhan hantar orang tidak dikenali untuk membantu semasa dalam kesusahan.

"Saya berterima kasih kepada pasangan doktor yang ikhlas membantu saya dan budi baik mereka berdua hanya Tuhan dapat membalasnya," katanya.

Sementara itu, Dr Hanafi berkata, setakat ini kira-kira 300 bungkusan barangan keperluan asas disumbangkan kepada penduduk yang terkesan akibat Covid-19.

Katanya, di setiap kampung di sekitar Slim River, beliau memperuntukkan 50 bungkusan barangan keperluan asas yang diagihkan melalui pimpinan setempat.

"Saya rasa terpanggil untuk membantu Seek Sau selepas menerima maklumat daripada orang awam mengenai kesusahannya.

"Sumbangan yang saya lakukan dengan menggunakan sebahagian gaji kami berdua atas dasar kemanusiaan dan tanggungjawab sosial kepada masyarakat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Julai 2021 @ 1:22 PM