Rosman Shamsudin

Slim River: Suami isteri yang juga doktor di sini, tidak kisah membelanjakan sebahagian gaji mereka membantu golongan yang terkesan, khususnya sepanjang penguatkuasaan sekatan pergerakan penuh.

Dr Hanafi Yahya dan Dr Fariza Hanim Sahir, kedua-duanya berusia 38 tahun, mengambil inisiatif menggunakan sebahagian gaji mereka bagi menyediakan 50 bungkusan barangan keperluan asas pada setiap minggu kepada golongan berkenaan.

Dr Hanafi berkata, bantuan itu akan disalurkan kepada ketua kampung atau pimpinan setempat sebelum diagih kepada individu terkesan.

"Barangan asas itu antaranya ialah beras, minyak masak, tepung, bihun, telur dan sebagainya.

"Sumbangan ini diharap mampu mengurangkan beban golongan terkesan, termasuk peniaga kecil yang kini kekurangan pendapatan akibat kekurangan pelanggan," katanya.

Beliau dan isteri ditemui semasa menyerahkan bantuan kepada Timbalan Pengerusi Masjid Kampung Balun, Mohd Ashid Ali, 48, dekat sini.

Dr Hanafi berkata, ketua kampung atau pimpinan setempat yang memerlukan bantuan untuk membantu penduduk yang terkesan di sekitar Slim River boleh menghubungi beliau di talian 016-9247880 pada bila-bila masa.

"Harta atau wang tidak akan berkurang jika ia digunakan untuk berkongsi rezeki dengan golongan memerlukan," katanya.

Sementara itu, Mohd Ashid berkata, pihaknya mengagihkan barangan berkenaan kepada penduduk yang dikenal-pasti.

"Kami bersyukur dengan sumbangan daripada pasangan doktor ini dan ia memang membantu individu memerlukan," katanya.

DR Hanafi (dua kanan) dan isteri, Dr Fariza Hanim (kanan) menyerahkan barangan keperluan asas kepada Timbalan Pengerusi Masjid Kampung Balun, Mohd Ashid (dua kiri) untuk diagihkan kepada penduduk. FOTO Rosman Shamsudin
DR Hanafi (dua kanan) dan isteri, Dr Fariza Hanim (kanan) menyerahkan barangan keperluan asas kepada Timbalan Pengerusi Masjid Kampung Balun, Mohd Ashid (dua kiri) untuk diagihkan kepada penduduk. FOTO Rosman Shamsudin

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Jun 2021 @ 1:36 PM