STATUS Dr Hanafi yang menarik perhatian sukarelawan. FOTO ihsan FB Dr Hanafi Yahya
STATUS Dr Hanafi yang menarik perhatian sukarelawan. FOTO ihsan FB Dr Hanafi Yahya
Rosman Shamsudin


SEORANG doktor klinik swasta tidak menyangka sangka paparan melalui Facebooknya (FB) yang meminta pertolongan orang ramai menyumbang barangan dan tenaga untuk menghasilkan pakaian perlindungan diri (PPE) mendapat perhatian penduduk di Muallim.

Buktinya, tidak sampai 48 jam permintaan beliau disambut oleh kenalan FB yang menyumbang barangan dan sukarela menjadi tukang jahit untuk menghasilkan PPE.

Dr Hanafi Yahya, 37, berkata, kesedaran untuk membantu barisan hadapan negara iaitu petugas Hospital Slim River timbul apabila beliau membuat lawatan ke hospital itu pada Rabu lalu sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan 18 Mac lalu.

“Hati saya terusik dan sedih melihat keadaan petugas barisan hadapan negara dalam memerangi wabak Covid-19 kerana ada di antara mereka yang mempunyai kemahiran menjahit terpaksa mencuri masa untuk menjahit PPE walaupun ketika itu mereka sepatutnya habis berkerja.

“Saya memahami beban tugas mereka sepanjang PKP kerana saya dulu bekas doktor di hospital kerajaan sebelum berhenti dan membuka klinik sendiri,” katanya ketika ditemui dekat Slim River.

Hasil paparan di FB, beliau menerima sumbangan barangan untuk menghasilkan PPE dan seramai 10 tukang jahit pelbagai bangsa menawarkan diri untuk menjahit.

Malah, pihak hospital juga menerima sumbangan dua mesin jahit dan material non-woven fabric daripada penyumbang untuk menghasilkan PPE itu.

Difahamkan, pihak hospital memerlukan kira-kira 1,500 PPE sebulan dalam usaha merawat dan mengekang wabak Covid-19.

Dr Hanafi berkata, setiap hari sukarelawan yang menjahit dan menghasilkan PPE mampu menghasilkan kira-kira 10 PPE yang akan diberikan kepada petugas barisan hadapan negara.

“Inilah keunikan rakyat Malaysia yang suka menghulurkan bantuan tanpa mengira bangsa dan semangat inilah yang harus kita kekalkan dalam menghadapi apa jua cabaran terutama dalam menghadapi situasi ini.

“Kepada mereka yang menyumbang barangan dan sukarela menjahit PPE secara percuma, saya hargai bahawa sumbangan anda akan mendapat ganjaran pahala di dunia dan akhirat nanti,” katanya.

Dr Hanafi berkata, kuasa Internet di hujung jari amat hebat penangannya jika orang ramai menggunakan dengan betul dan jangan sesekali menyalahgunakan dengan menyebar maklumat atau berita palsu.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 April 2020 @ 1:50 PM