DR Hanafi Yahya (kanan) dan isterinya, Dr Fariza Hanim Shahir (tiga kanan) menyampaikan barangan makanan dan pengurusan diri kepada Dr Sharifah Zuraida Syed Mohd Zahudi (dua kanan) di perkarangan HSR, hari ini. FOTO ROSMAN SHAMSUDIN.
DR Hanafi Yahya (kanan) dan isterinya, Dr Fariza Hanim Shahir (tiga kanan) menyampaikan barangan makanan dan pengurusan diri kepada Dr Sharifah Zuraida Syed Mohd Zahudi (dua kanan) di perkarangan HSR, hari ini. FOTO ROSMAN SHAMSUDIN.
Rosman Shamsudin


Slim River: Prihatin dengan nasib pihak yang ditimpa musibah selain memerlukan bantuan menyebabkan suami isteri yang juga doktor di sebuah klinik swasta tampil menghulurkan bantuan.

Sumbangan berbentuk bantuan barangan makanan dan pengurusan diri berkenaan dihulurkan kepada Hospital Slim River (HSR) untuk kegunaan pesakit Covid-19.

Ia sumbangan Pengasas Perkhidmatan Klinik Doktor Bergerak (DOC MOVE) Dr Hanafi Yahya dan isterinya, Dr Fariza Hanim Shahir.

Dr Hanafi berkata, beliau dan isteri terpanggil untuk menghulurkan bantuan apabila dimaklumkan ada pesakit yang dihantar ke HSR hanya sehelai sepinggang sahaja atas sebab tertentu.

"Keadaan ini cukup menginsafkan kami. Ia membuatkan kami terfikir apa yang kami perlu lakukan jika berada di tempat mereka.

"Kerana itu, saya dan isteri ambil peluang ini untuk membantu setakat yang mampu kepada pesakit ini," katanya ditemui di perkarangan HSR hari ini.

Bantuan disampaikan kepada Timbalan Pengarah Perubatan HSR Dr Sharifah Zuraida Syed Mohd Zahudi untuk kegunaan pesakit.

Pada awal penularan Covid-19 di negara ini, Dr Hanafi, Dr Fariza Hanim dan sukarelawan daerah Muallim turut menghasilkan kira-kira 8,000 pakaian perlindungan diri (PPE) kepada pihak hospital.

Menurut Dr Hanafi, pihaknya akan berusaha untuk menyumbang lagi pada masa depan.

"Ketika kita mampu, kita bantulah mereka yang memerlukan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 November 2020 @ 4:41 PM