KEADAAN ambulans yang remuk selepas terbabas dalam kemalangan di Kilometer 16, Jalan Yong Peng -Muar, semalam. FOTO Essa Abu Yamin
KEADAAN ambulans yang remuk selepas terbabas dalam kemalangan di Kilometer 16, Jalan Yong Peng -Muar, semalam. FOTO Essa Abu Yamin
Essa Abu Yamin


Batu Pahat: Sebuah ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang dalam perjalanan mengambil pesakit terbabit kemalangan di Kilometer 16 Jalan Yong Peng-Muar, semalam.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, dalam kejadian 9.35 malam itu, ambulans berkenaan dalam perjalanan dari Klinik Kesihatan Parit Yaani ke Parit Sulong bagi mengambil pesakit.

"Tiba di tempat kejadian, pemandu ambulans berusia 54 tahun itu gagal mengawal kenderaannya sebelum terbabas ke bahu jalan dan jatuh ke tebing.

"Pemandu dan seorang pegawai kesihatan berusia 35 tahun yang berada di tempat duduk penumpang hadapan hanya mengalami kecederaan ringan," katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat untuk diberikan rawatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Julai 2021 @ 11:49 AM