Omar Ahmad

Yong Peng: Lapan jalan di daerah Batu Pahat ditutup kepada semua kenderaan akibat banjir yang semakin buruk, hari ini.

Menerusi perkongsian Jabatan Kerja Raya (JKR) Batu Pahat di laman sosial Facebook, jabatan itu memaklumkan ia membabitkan Jalan Johor Bahru-Seremban berdekatan Kampung Ngamarto (FT001), Jalan Paloh berdekatan Mados dan Jalan Paloh berdekatan Kangkar Baru.

"Turut ditutup ialah Jalan Parit Haji Arif/Sri Dayung berdekatan Jambatan Seri Dayung, Jalan Parit Jambi dan Jalan Yong Peng-Muar berdekatan Simpang Parit Jalil/Bukit Belah.

"Jalan Yong Peng-Muar berdekatan Klinik Kesihatan Parit Sulong dan sepanjang Jalan Parit Warijo juga ditutup. Rata-rata jalan dinaiki air dengan ketinggian 0.6 meter (m) hingga 1.2m," katanya.

Jabatan itu turut memaklumkan, Jalan Johor Bahru-Seremban berdekatan Sungai Temehel hanya dibuka untuk kenderaan berat saja, selepas dinaiki air pada paras 0.35m.

JALAN Johor Bahru - Seremban berdekatan Kampung Ngamorto FOTO Omar Ahmad
JALAN Johor Bahru - Seremban berdekatan Kampung Ngamorto FOTO Omar Ahmad

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Mac 2023 @ 10:39 AM