AMBULANS dinaiki dua petugas terbalik dekat persimpangan lampu isyarat di Kuching.
AMBULANS dinaiki dua petugas terbalik dekat persimpangan lampu isyarat di Kuching.
Norsyazwani Nasri


Kuching: Dua petugas lelaki Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) cedera selepas ambulans dinaiki berlanggar dengan sebuah kereta dan terbalik di persimpangan lampu isyarat Jalan Tun Ahmad Zaidi Adruce/ Jalan Green di sini.

Dalam kejadian 6.20 petang semalam itu, ambulans berkenaan dalam perjalanan mengambil pesakit Covid-19 yang positif di Stadium Perpaduan Kuching untuk dihantar ke Kolej Sains Kesihatan Bersekutu, Batu 13.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintendan Alexson Naga Chabu berkata, pemandu ambulans berusia 43 tahun cedera di tangan kanan, manakala pembantu perubatan berusia 39 tahun yang juga penumpang hadapan cedera tangan kiri.

Katanya, pemandu dan penumpang kereta masing-masing berusia 22 tahun tidak cedera.

"Kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta bergerak selepas lampu isyarat hijau dari arah Wisma Seberkas menghala Jalan Green, dilanggar ambulans yang dari arah Bulatan Batu 3 di Jalan Tun Ahmad Zaidi Adruce," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Alexson berkata, pemandu kereta mendakwa ambulans tidak memasang bunyi siren menyebabkan dia tidak sedar kehadiran kenderaan itu dan siasatan awal mendapati terdapat unsur kecuaian.

Katanya, ambulans rosak di bahagian hadapan kiri, manakala kereta rosak di bahagian hadapan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Ogos 2021 @ 8:57 AM