LATIFAH menangis terharu menerima suntikan vaksin di Pusat Pemberian Vaksin Institusi Pengajian Tinggi (PPV IPT). FOTO Ruwaida Md Zain
LATIFAH menangis terharu menerima suntikan vaksin di Pusat Pemberian Vaksin Institusi Pengajian Tinggi (PPV IPT). FOTO Ruwaida Md Zain
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: "Terlampau gembira (menerima vaksin), tidak rasa sakit. Segalanya mudah..syukur Alhamdulillah," luah seorang warga emas sambil menyeka air mata dengan tudungnya.

Latifah Sa'ad, 71, tidak dapat menahan sebak sebaik sahaja selesai menerima suntikan vaksin pertama dan tidak menyangka proses vaksinasi yang dilaluinya berjalan lancar.

Dia yang ditemui di Pusat Pemberian Vaksin Institusi Pengajian Tinggi (PPV IPT) Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam di sini, melahirkan syukur tidak terhingga kepada Allah SWT kerana namanya tersenarai pagi tadi.

"Rasa lega (menahan sebak)...urusan (vaksin) lancar. Rasanya tiada apa-apa..semoga mereka (warga emas lain) berani, jangan susah hati divaksin, tiada apa-apa, mudah sahaja.

"Saya datang tadi tepat jam 11 pagi.. cepat urusan dan petugas sangat membantu, puas hati," katanya yang datang dari Denai Alam di sini.

Dia yang ditemani anaknya, Hamirol Niza Hamzah, 47 , juga terharu layanan baik yang diberikan petugas sukarelawan sepanjang proses berlangsung.

Sementara itu, bagi Mohd Alias Md Yusof, 71, berkata tarikh temujanji vaksin semalam adalah tarikh kedua memandangkan dia pernah disahkan positif Covid-19 dan dirawat di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), April lalu.

"Saya tiada masalah, senang sangat. Layanan (petugas) Alhamdulillah syukur. Saya sekarang sihat sepenuhnya cuma kaki tidak boleh berjalan sakit lutut sebab itu berkerusi roda," katanya.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Menjalankan Fungsi Naib Canselor, Profesor Dr. Roziah Mohd Janor berkata, sehingga kelmarin, lebih 7,000 pemberian vaksin dilaksanakan di PPV berkenaan.

"PPV IPT di DATC ini bermula sejak Isnin lalu dan hari ini (semalam) hari ke lapan, setakat ini daripada jumlah keseluruhan itu, sebanyak 10 peratus adalah warga emas.

"Vaksin yang diberikan di sini adalah Sinovac. Kapasiti harian buat masa ini masih lagi 750 dos suntikan sehari dan akan meningkat kepada 1,500 sehari tidak lama lagi.," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Jun 2021 @ 4:16 PM