Zuraida (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada wakil penerima ketika mengadakan lawatan ke Program Movak di PPV Dewan Muafakat Johor Taman Adda, Johor Bahru. FOTO NURUL AMANINA SUHAINI
Zuraida (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada wakil penerima ketika mengadakan lawatan ke Program Movak di PPV Dewan Muafakat Johor Taman Adda, Johor Bahru. FOTO NURUL AMANINA SUHAINI
Nurul Amanina Suhaini


Johor Bahru: Hampir 500,000 peniaga kecil berdaftar dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara akan menerima vaksin bagi meneruskan aktiviti perniagaan.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, satu program vaksinasi akan dilancarkan pada 6 Julai depan kepada kumpulan itu menerusi Mobilisasi Vaksin Komuniti (Movak).

"Semalam, sudah berbincang dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti), selain logistik yang sudah disediakan oleh Movak ini lengkap sistem sokongannya mengikut spesifikasi yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi program pemvaksinan.

"Jadi kita bersetuju untuk mengadakan satu program vaksinasi kepada peniaga kecil di bawah PBT. Seluruh negara ada hampir 500,000. Di Johor pula ada 34,000 yang berdaftar dan Johor Bahru sahaja separuh daripada jumlah itu.

"Ini kita akan lancar 6 Julai depan dengan menggunakan unit mobilisasi untuk reach out (mendekati) peniaga-peniaga ini, mereka perlu diberi vaksin supaya dapat teruskan aktiviti bagi menjana pendapatan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke Program Movak di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Muafakat Johor Taman Adda, di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique.

Zuraida berkata, pihaknya menggalakkan peniaga mahupun penjaja yang tidak berdaftar di bawah PBT untuk melakukannya supaya memudahkan urusan pemvaksinan.

"Ya, ada keperluan untuk mengutamakan mereka ambil vaksin. Tapi kalau yang tidak berdaftar, mereka (peniaga) digalakkan untuk mula mendaftar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Jun 2021 @ 1:10 PM