FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Amir Abd Hamid
amir_hamid@mediaprima.com.my


Kuala Lumpur: Sebanyak 91.3 peratus populasi dewasa di Melaka sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos dan sebanyak 88.5 peratus lengkap dos vaksin Covid-19 sehingga semalam.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, kadar pencapaian itu melebihi kadar vaksinasi populasi dewasa kebangsaan sebanyak 88.4 peratus.

Beliau berkata, agihan bekalan negeri Melaka bagi September lalu adalah sebanyak 435,750 dos.

"Ini menunjukkan pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (Pick) di negeri Melaka berada di landasan yang tepat menuju matlamat yang disasarkan.

"Jadi Yang Berhormat, Insya-Allah Melaka bukan antara yang terendah (kadar vaksinasi penduduk)," katanya di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin (PH-Hang Tuah Jaya) ingin tahu sejauh mana perancangan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) dalam merancakkan lagi pemberian vaksin harian dan apakah program vaksin bergerak (mobile vaccine) boleh dilaksanakan secara menyeluruh serta kenapa negeri Melaka menjadi antara negeri yang rendah kadar vaksinasinya.

Dalam pada itu, Ahmad Amzad berkata, antara program vaksin bergerak dilaksanakan Mosti adalah program outreach Program Mobilisasi Vaksin Komuniti (Movak).

"Program inisiatif bersama di antara Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Kementerian Perpaduan Negara (KPN) ini digerakkan ke seluruh negeri di Semenanjung Malaysia.

"Ia bagi mewujudkan ekosistem sokongan dalam mempercepatkan proses pemberian vaksin kepada komuniti.

"Pasukan sedang digerakkan secara berperingkat ke seluruh negara bagi membantu proses vaksinasi melalui pusat pemberian vaksin (PPV) di negeri-negeri," katanya.

Beliau berkata, untuk perancangan selanjutnya, Movak mensasarkan pelaksanaan vaksinasi terhadap remaja di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang tertakluk keputusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Secara keseluruhan, sebanyak 84,868 dos suntikan sudah diperuntukkan bagi pelaksanaan program outreach Movak ini bermula pada 23 Ogos lalu.

"Sehingga kini, ia sudah pun dilaksanakan di tujuh negeri iaitu Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

"Pencapaian vaksinasi negeri-negeri ini sudah meningkatkan kadar vaksinasi keseluruhan negara melebihi 85 peratus pada masa ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Oktober 2021 @ 12:36 PM