Zuraida Kamaruddin (kiri) beramah mesra bersama salah seorang penerima vaksin di PPV Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra di sini, hari ini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Zuraida Kamaruddin (kiri) beramah mesra bersama salah seorang penerima vaksin di PPV Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra di sini, hari ini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyasarkan 500,000 peniaga kecil di seluruh negara selesai divaksinasi pada Oktober ini.

Menterinya, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, ia sebagai persediaan untuk membuka kembali ekonomi termasuk perniagaan kecil selepas ini.

Katanya, bagi membantu sasaran dicapai, kaedah vaksinasi digerakkan menerusi program Mobilisasi Vaksin Komuniti (Movak).

"Kita adakan program vaksinasi untuk peniaga kecil ini selama tiga bulan, Ogos sehingga Oktober dan program Movak ini juga untuk memberi vaksin kepada penduduk setempat," katanya yang ditemui di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra di sini, hari ini yang turut dihadiri Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Kelantan, Jainal @ Zainal Madasin.

Zuraida berkata, pihaknya juga bekerjasama dengan Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF), Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba dan Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19, Khairy Jamaluddin dalam peruntukkan vaksin kepada peniaga kecil.

Menurutnya, setakat ini lebih 8,000 peniaga di seluruh negara yang sudah divaksin.

"Bagi peniaga yang belum menerima janji temu vaksinasi di MySejahtera, mereka boleh berdaftar dengan PBT (pihak berkuasa tempatan) atau hadir ke Movak bagi membantu mencapai sasaran kadar vaksinasi," katanya.

Dalam pada itu, katanya, peniaga yang terjejas akibat pandemik Covid-19 turut dibantu kerajaan negeri dan PBT yang memberi kelonggaran lesen dan sewaan premis.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Ogos 2021 @ 4:38 PM