Zuraida Kamaruddin
Zuraida Kamaruddin
Rafidah Mat Ruzki


Putrajaya: Program Mobilisasi Vaksin Komuniti (MOVAK) di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) kini diperluaskan kepada komuniti peniaga kecil.

KPKT dalam satu kenyataan berkata, program dengan kerjasama Kementerian Perpaduan Negara dan Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) diperluaskan kepada penjaja pasar malam, pasar tani, pasar pagi, pasar basah dan lain - lain peniaga yang termasuk dalam kategori penjaja dan berdaftar dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Kenyataan itu memaklumkan, tumpuan program itu kepada kawasan yang mempunyai kadar suntikan vaksin yang rendah dan jangkitan yang tinggi.

Katanya, untuk permulaan, Selangor dipilih sebagai destinasi pertama kerana mempunyai jumlah jangkitan kes yang tertinggi dan belum menunjukkan potensi penurunan kes ketika ini.

Berikutan itu, katanya, KPKT mensasarkan pemberian suntikan vaksin kepada 49,084 individu dalam kalangan penjaja di negeri itu.

"Program yang akan dilaksanakan di seluruh negara ini mensasarkan lebih daripada 500,000 penjaja dan peniaga kecil khususnya di kawasan bandar untuk diberikan vaksin dengan segera.

"Inisiatif ini bertujuan membantu peniaga kecil yang berdaftar dengan PBT untuk menerima vaksin Covid-19 susulan kebenaran yang diberikan kepada penjaja kecil untuk berniaga di kawasan PBT masing – masing dalam tempoh Kawalan Pergerakan bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) ini.

"Ia juga secara tidak langsung dapat membantu mengurangkan risiko jangkitan dan bahaya terhadap golongan penjaja berikutan peranan mereka yang sentiasa bertemu dengan orang ramai dalam aktiviti perniagaan harian," katanya.

Projek rintis MOVAK disempurnakan pagi semalam oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zuraida Kamaruddin, membabitkan seramai 504 penjaja daripada 8,812 penjaja yang berdaftar bawah Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).

Program itu membabitkan seramai 51 petugas dan sukarelawan iaitu 18 petugas kesihatan dan 33 lagi adalah petugas bukan kesihatan.

Inisiatif KPKT bersama Kementerian Perpaduan Negara itu bagi menyokong usaha Kerajaan dalam melancarkan proses vaksinasi dan membantu meningkatkan jumlah kehadiran di Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

"Program ini dilaksanakan dengan kerjasama pihak PBT dan KRT serta disokong oleh sukarelawan Penggerak Komuniti Negara (PKN).

"Ia mempunyai empat komponen yang terdiri daripada Unit Panggilan, Unit Mobilisasi, Unit Jangkauan Komuniti dan Unit PPV Bergerak.

"Penggemblengan usaha kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ini diharapkan dapat membantu kelancaran Pelan Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) dan seterusnya mempercepatkan proses imuniti kelompok," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Julai 2021 @ 6:57 PM