Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Menyewa hotel atau rumah tumpangan untuk berkumpul beramai-ramai antara kesalahan dilakukan golongan muda yang dikesan polis sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di daerah ini.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, taktik golongan remaja belasan tahun itu dikesan pihaknya sebelum mereka dikenakan tindakan kerana melanggar PKPB yang bermula sejak 9 November lalu.

Beliau berkata, seramai 11 daripadanya berusia 13 tahun hingga 21 tahun ditahan dalam serbuan dilakukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar bersama Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK) di sebuah bilik sewa di Jalan Langgar, minggu lalu.

"Malah, ketika PKP Pemulihan (PKPP) bulan lalu, polis turut mengeluarkan kompaun terhadap enam individu kerana berkumpul dalam sebuah bilik di hotel di bandar raya ini, bulan lalu.

"Kita dapati golongan remaja tidak mematuhi arahan PKPB yang ditetapkan untuk berkumpul dan berpesta memandangkan pusat hiburan tidak dibenarkan beroperasi sepanjang PKP ini," katanya ketika ditemui ketika meninjau pada hari terakhir PKPB yang tamat pada jam 12 tengah malam ini.

Ahmad Shukri berkata, jumlah keseluruhan kompaun yang dikeluarkan sepanjang PKPB adalah sebanyak 60 kompaun serta satu tangkapan dilakukan.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, 41 daripadanya dikompaun kerana kesalahan tidak memakai pelitup muka, 11 ingkar PKPB kerana berkumpul dan empat daripadanya merentas negeri tanpa kebenaran.

"Mereka dikompaun RM1,000 kerana kesalahan melanggar syarat PKPB.

"Seorang lelaki warga asing pula ditahan kerana tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan yang sah," katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Shukri berkata, enam sekatan jalan raya (SJR) yang dilaksanakan sejak 9 November lalu dan 10 laluan sempadan daerah yang ditutup dibuka semula jam 12.01 tengah malam ini.

Beliau berkata, orang ramai boleh meneruskan aktiviti seperti biasa termasuk merentas daerah namun perlu mematuhi PKPP yang masih dilaksanakan sehingga 31 Disember ini.

"Namun saya mengingatkan orang ramai supaya sentiasa memakai pelitup muka dan tiada lagi alasan kerana harganya cuma RM1 tetapi untuk kebaikan kita sendiri untuk mengelak dari jangkitan," katanya.

Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob mengumumkan PKPB di Terengganu, Melaka dan Kedah kecuali Kulim ditamatkan tengah malam ini.

Selain itu, PKPB di Johor juga ditamatkan bermula tengah malam ini kecuali di Kota Tinggi dan Mersing.

AHMAD Shukri melakukan pemeriksaan terhadap pemandu kenderaan yang melalui sekatan jalan raya (SJR) di hadapan Balai Polis Alor Janggus pada malam terakhir PKPB. FOTO Zuliaty Zulkiffli
AHMAD Shukri melakukan pemeriksaan terhadap pemandu kenderaan yang melalui sekatan jalan raya (SJR) di hadapan Balai Polis Alor Janggus pada malam terakhir PKPB. FOTO Zuliaty Zulkiffli

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 November 2020 @ 11:35 PM