Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Mahu beli sarapan di Kubang Pasu antara alasan diberikan individu yang ditahan dalam pemeriksaan mengejut di Kampung Alor Ganu, di sini, hari ini.

Dalam pemeriksaan bermula 10 pagi itu, lapan individu termasuk dua wanita berusia 18 hingga 52 tahun dikompaun kerana merentas daerah tanpa kebenaran daripada pihak berkuasa.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, pihaknya turut mengeluarkan kompaun dan menahan seorang lelaki Rohingya kerana hanya mengemukakan kad pelarian bangsa-bangsa bersatu (UNHCR) tanpa surat kebenaran polis.

Beliau berkata, bagi kesalahan merentas daerah, mereka dikompaun RM5,000 setiap seorang, manakala lelaki warga asing itu ditahan untuk siasatan lanjut.

"Hasil pemeriksaan kita hari ini mendapati, laluan ini adalah antara jalan tikus yang digunakan penduduk untuk masuk ke daerah Kubang Pasu dari Kota Setar.

"Titi (jambatan) yang terletak di kawasanini adalah sempadan dua daerah, namun digunakan mereka untuk mengelak melalui sekatan jalan raya (SJR) di Kepala Batas," katanya ketika ditemui di lokasi, hari ini.

Ahmad Shukri berkata, mereka memberi pelbagai alasan termasuk hendak membeli sarapan, pergi ke dobi dan menziarah ibu bapa tanpa menunjukkan surat kebenaran merentas daerah.

Menurutnya, sebanyak 28 mukim dalam daerah Kota Setar kini dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sejak 19 Mei lalu.

ANGGOTA polis melakukan pemeriksaan terhadap kenderaan di sempadan Pokok Sena-Alor Setar. FOTO Zuliaty Zulkiffli
ANGGOTA polis melakukan pemeriksaan terhadap kenderaan di sempadan Pokok Sena-Alor Setar. FOTO Zuliaty Zulkiffli

"Saya mahu mengingatkan bahawa penduduk dari Pokok Sena yang hendak berurusan di Kota Setar perlu menunjukkan surat kebenaran polis atau Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk masuk keluar dari daerah ini.

"Ini kerana Pokok Sena dan Kota Setar berada di bawah pentadbiran berasingan walaupun pentadbiran polis di bawah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar.

"Malah, penghantaran makanan menggunakan motosikal dan kenderaan e-hailing juga tidak dibenarkan masuk ke daerah Kota Setar tanpa surat kebenaran polis," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Mei 2021 @ 3:42 PM