Zuliaty Zulkiffli

Alor Setar: Seramai 23 individu termasuk empat remaja bawah umur ditahan ketika berhibur dalam pesta di sebuah inap desa di Taman Seri Kota, Jalan Kuala Kedah di sini, jam 3.30 pagi tadi.

Lima yang ditahan adalah perempuan manakala bakinya lelaki berusia 15 hingga 28 tahun.

Serbuan dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah diketuai Asisten Superintendan Rosli Hanafi dan dibantu Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar.

Ketika serbuan, inap desa yang terletak di belakang kawasan perumahan itu diterangi lampu malah bagaikan pusat hiburan dengan muzik dipasang kuat.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah Senior Asisten Komisioner Sapii Ahmad berkata, empat daripada 23 individu yang ditahan masih bersekolah iaitu seorang di tingkatan tiga manakala tiga lagi di tingkatan lima.

"Ujian saringan awal air kencing mendapati, 17 lelaki dan tiga perempuan yang ditahan positif dadah.

"Setiap individu terbabit turut dikompaun RM1,000 kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP)," katanya ditemui di IPK Kedah.

SEBAHAGIAN daripada 23 individu yang ditahan kerana melakukan pesta persendirian di sebuah inap desa di Taman Seri Kota, Jalan Kuala Kedah. FOTO Zuliaty Zulkiffli
SEBAHAGIAN daripada 23 individu yang ditahan kerana melakukan pesta persendirian di sebuah inap desa di Taman Seri Kota, Jalan Kuala Kedah. FOTO Zuliaty Zulkiffli

Kes disiasat mengikut Seksyen 22B Akta 342 dan Peraturan 11 (Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit Langkah-langkah Tempatan Jangkitan 2020).

Sapii berkata, kesemua mereka dibawa ke IPD Kota Setar untuk siasatan lanjut.

Sementara itu, seorang lelaki berusia 21 tahun yang ditahan berkata, dia menyewa inap desa itu pada harga RM350 untuk satu malam dan 10 individu berkongsi RM35 seorang untuk membayar sewa berkenaan.

Dia mendakwa, lapan lagi lelaki yang ditahan di inap desa itu adalah kenalan rakan-rakannya yang datang untuk melepak di situ.

"Kenalan mereka ada yang bawa pasangan masing-masing, mereka buat hal sendiri, saya hanya jaga bahagian sewa rumah saja.

"Ini kali pertama saya mai (datang) sini. Tak sangka kena tahan polis," katanya di lokasi serbuan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Disember 2020 @ 4:03 PM