Zuliaty Zulkiffli


LELAKI berusia 20-an memberi alasan keluar lewat malam untuk ke rumah tunangnya ketika dia ditahan kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Alor Setar, malam tadi.

Lelaki itu yang menunggang motosikal ditahan di persimpangan lampu isyarat Taman Nuri, Jalan Datuk Kumbar, jam 11.30 malam.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin berkata, lelaki terbabit antara 16 individu berusia antara 19 hingga 38 tahun ditahan kerana ingkar PKP.

Beliau berkata, kebanyakan mereka memberi pelbagai alasan untuk melepaskan diri walaupun tahu peraturan PKP hanya membenarkan keluar rumah sehingga 8 malam.

“Lokasi itu sudah lima kali dilakukan pemeriksaan dan tangkapan, sebelum ini, namun ramai yang masih ingkar PKP.

“Berikutan itu, 16 individu yang ditahan malam ini dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar untuk tindakan lanjut,” katanya.

Mohd Rozi berkata, operasi itu disertai dua pegawai dan 15 anggota serta dibantu tiga anggota dari Unit Rondaan Bermotosikal (URB) serta pasukan Cantas Bahagian Siasatan Jenayah dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar.

Beliau berkata, mereka yang ditahan disiasat mengikut Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

POLIS bertanyakan soalan kepada seorang lelaki yang ditahan dalam sekatan berkenaan. FOTO Zuliaty Zulkiffli
POLIS bertanyakan soalan kepada seorang lelaki yang ditahan dalam sekatan berkenaan. FOTO Zuliaty Zulkiffli

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 April 2020 @ 8:44 AM