Zuliaty Zulkiffli


INGKAR Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ketika menjamu selera di sebuah kedai makan di Tebengau, Alor Setar, mengakibatkan 46 individu ditahan polis, petang semalam.

Mereka didapati berkumpul di kedai makan dalam jumlah padat selain tidak mengamalkan penjarakan sosial di saat pihak berkuasa sedang berusaha mengekang penularan wabak Covid-19.

Malah, tinjauan mendapati kedai makan itu gagal menyediakan penyukat suhu badan dan mengambil butiran pelanggan.

Berikutan itu, kesemua mereka berusia 19 hingga 67 tahun itu ditahan sepasukan polis dalam serbuan yang dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar jam 5 petang.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Setar, Superintendan Mohd Redzuan Salleh berkata, mereka yang ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata, kesemua mereka dikompaun RM1,000 kerana ingkar PKPP yang masih dilaksanakan sejak 10 Jun lalu selain tidak mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.

"Sekarang ini jumlah bilangan kes Covid-19 meningkat namun masih ada segelintir individu yang tidak patuh dengan arahan yang ditetapkan.

"Kompaun RM1,000 seorang dikenakan terhadap mereka kerana melakukan kesalahan melanggar PKPP dan diambil tindakan mengikut Peraturan 7 Jadual Aktiviti Terlarang bil 11(no. 7) 2020," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar, malam tadi.

Mohd Redzuan berkata, dalam tempoh dua hari, pihaknya mengeluarkan kompaun terhadap 90 individu yang ingkar PKPP dalam beberapa pemeriksaan dan operasi di daerah ini.

Beliau berkata, selain itu pihaknya turut menahan 13 individu etnik Rohingya yang didapati berkumpul di sebuah kedai makan di sekitar bandar raya ini.

"Sekiranya masyarakat masih lagi tidak mematuhi SOP yang ditetapkan, kita akan menambah pasukan pemantau untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang masih ingkar.

"Setakat ini sembilan pasukan pemantau sudah dikerah untuk melakukan pemantauan di sekitar daerah Kota Setar bagi memastikan orang awam mematuhi SOP seperti tidak berkumpul beramai-ramai dan jaga penjarakan sosial.

ANTARA individu yang ditahan. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
ANTARA individu yang ditahan. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Julai 2020 @ 10:01 AM