PERUT khinzir sejuk beku yang dirampas di Pelabuhan Tanjung Pelepas, Johor Bahru. FOTO Ihsan MAQIS JOHOR
PERUT khinzir sejuk beku yang dirampas di Pelabuhan Tanjung Pelepas, Johor Bahru. FOTO Ihsan MAQIS JOHOR
Nurul Amanina Suhaini


Johor Bahru: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Johor menahan kontena yang membawa masuk produk perut khinzir sejuk beku seberat 27 tan di Pelabuhan Tanjung Pelepas, di sini.

Pengarah MAQIS Johor, Hizzuan Hasim, berkata produk yang bernilai RM315,520 itu dibawa masuk dari Denmark sebelum ditahan pihaknya yang menjalankan pemeriksaan kira-kira 10.30 pagi, kelmarin.

Katanya, hasil pemeriksaan lanjut, kontena itu membawa produk seberat 27,200 kilogram (kg).

"Hasil pemeriksaan mendapati 'seal' pada kontena terbabit tidak sama seperti di dalam 'bil of lading' yang dikemukakan kepada pegawai penguasa MAQIS.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 13 Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) kerana melakukan pengisytiharan yang mengelirukan pihak berkuasa.

"Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara selama tempoh tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, bagi kesalahan kedua atau berikutnya, jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak lebih RM75,000 atau dipenjara selama tempoh tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.

Katanya, semua pengimport dan pengeksport diingatkan supaya mengikut peraturan ditetapkan kerajaan bagi memastikan kawalan penyakit haiwan, ikan, tumbuhan serta jaminan keselamatan makanan Malaysia terpelihara.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 April 2021 @ 12:46 PM