FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Terpaksa meminjam dengan ceti haram selain mengalami tekanan, antara derita ditanggung segelintir peniaga kecil termasuk tukang gunting rambut, ketika ini susulan penutupan sektor ekonomi.

Mereka yang bergantung kepada pendapatan harian didakwa hilang arah apabila masih tidak dibenarkan beroperasi, apatah lagi wang simpanan semakin habis digunakan demi kelangsungan hidup.

Mendedahkan perkara itu, Presiden Persatuan Penggunting Rambut Bumiputera Malaysia, TN Winda Mohd Tahir berkata, pihaknya ada menerima laporan terdapat ahlinya yang didakwa terpaksa meminjam daripada peminjam wang tidak berlesen sejak akhir-akhir ini.

Katanya, tindakan dilakukan kerana kehabisan wang untuk membeli keperluan harian, selain membayar komitmen bulanan seperti sewa kedai dan pinjaman.

"Mereka sudah tertekan dan terkesan dengan situasi ekonomi yang terus menghimpit, serta tiada langsung pendapatan sejak tidak beroperasi hampir sebulan.

"Malah jika diikutkan, sudah beberapa kali operasi kedai gunting dan perniagaan kecil lain terpaksa 'akur' dengan arahan kerajaan namun, realitinya ramai yang tersungkur," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Winda berharap kerajaan mempertimbang untuk perniagaan kecil seperti mereka beroperasi demi kelangsungan dan tidak terus terjerat dengan hutang termasuk pembiayaan daripada sumber meragukan.

"Beri apa saja prosedur operasi standard (SOP) yang ketat pasti kami dan peniaga kecil akan patuh, asalkan dapat beroperasi semula," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Gerakan Transformasi Pengguna Malaysia (GTPM) Azman Kang Abdullah berkata, pihaknya menyedari terdapat peningkatan 30 peratus pinjaman dibuat dengan ceti haram yang dipercayai berpunca akibat kehilangan pekerjaan, gaji dipotong dan sebagainya.

Untuk itu, katanya, GTPM bersedia menjadi orang tengah untuk membantu golongan itu dalam isu pinjaman berkenaan bagi mengelak ia berlanjutan dan berlaku kejadian tidak diingini.

"Kita akan bantu jadualkan semula pembayaran dengan kadar mampu bayar dan dipersetujui bersama, walaupun keadaan sukar, ia mesti diuruskan segera bagi mengelakkan mereka terjerumus lebih teruk lagi," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Jun 2021 @ 3:37 PM