FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Ekhwan Haque Fazlul Haque


GABUNGAN persatuan gunting rambut dan salon optimis kerajaan akan memberikan kebenaran kepada mereka untuk beroperasi tidak lama lagi.

Mengulas lanjut, wakil gabungan yang juga Presiden Persatuan Penggunting Rambut Bumiputera Malaysia TN Winda Mohd Tahir berkata, mesyuarat bersama kementerian dan agensi bertanggungjawab semalam menerima respon yang baik.

Menurutnya, mesyuarat itu dipengerusikan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan turut dihadiri Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta beberapa agensi lain.

Beliau berkata, mesyuarat itu susulan penyerahan prosedur operasi standard (SOP) tambahan yang dicadangkan gabungan persatuan gunting rambut dan salon kepada kerajaan, minggu lalu.

Katanya, SOP tambahan itu diserahkan bagi membolehkan penelitian lebih mendalam dilakukan terutama daripada aspek kesihatan dan keselamatan industri gunting rambut susulan pandemik Covid-19.

"Menerusi mesyuarat itu, wakil kementerian dan agensi berkaitan akan memperhalusi SOP tambahan yang dicadangkan gabungan persatuan.

"SOP ini menitikberatkan kesihatan dan keselamatan pelanggan dan pengusaha agar penularan tidak berlaku jika ia dipatuhi," katanya.

Gabungan ahli persatuan gunting rambut dan salon menghadiri mesyuarat di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri bagi membincangkan SOP tambahan industri gunting rambut yang terjejas akibat Covid-19
Gabungan ahli persatuan gunting rambut dan salon menghadiri mesyuarat di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri bagi membincangkan SOP tambahan industri gunting rambut yang terjejas akibat Covid-19

Winda berkata, antara SOP yang dicadangkan adalah hanya khidmat gunting rambut tanpa cukur akan ditawarkan dengan had masa 30 minit bagi setiap pelanggan.

Katanya, prosedur lain seperti ditetapkan kerajaan antaranya memakai pelitup muka, memeriksa suhu badan dan memakai sarung tangan yang akan dipatuhi pengusaha.

"Kami berharap satu keputusan positif dapat dicapai seterusnya menyelamatkan industri ini yang semakin parah selepas tidak beroperasi sejak lebih dua bulan lalu.

"Walaupun terlepas waktu puncak perniagaan ketika menjelang Aidilfitri namun kami masih berharap ada sinar selepas hari raya nanti," katanya.

Semalam, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pihaknya dimaklumkan persatuan gunting rambut sudah menghantar cadangan SOP berkaitan untuk diteliti pihak berkuasa.

Katanya, cadangan SOP itu diserahkan kepada MKN dan KKM untuk diteliti kerana terdapat pelbagai kategori yang perlu diambil kira.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Mei 2020 @ 2:38 PM