GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: "Belum sempat bernafas lega, kini kami sekali lagi berdepan dugaan besar," kata Presiden Persatuan Penggunting Rambut Bumiputera Malaysia TN Winda Mohd Tahir.

Beliau berkata, kini ribuan pengusaha kedai gunting dan salon sekali lagi 'diduga' apabila tidak dibenarkan beroperasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 sejak Jumaat lalu.

Katanya, kelonggaran perlu diberikan kepada industri ini memandangkan tiada kluster baharu membabitkan kedai gunting rambut direkodkan selepas prosedur operasi standard (SOP) dikeluarkan kerajaan.

"Kami tiada pilihan demi meneruskan kelangsungan hidup kerana masih perlu menanggung keluarga, sewa kedai, kebajikan dan gaji pekerja.

"Bagaimana kami mahu meneruskan kehidupan sedangkan sekatan operasi masih dilaksanakan kerajaan untuk PKP 2.0," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, kerajaan khususnya Kementerian Kesihatan Malaysia, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta Majlis Keselamatan Negara (MKN) disaran menilai kembali keputusan tidak membenarkan kedai gunting rambut beroperasi.

Beliau berkata, setiap keputusan yang dibuat perlu adil tanpa merugikan mana-mana pihak memandangkan majoriti industri sedang berusaha untuk bangkit daripada kesan PKP tahun lalu.

Tambahnya, persatuan masih menanti maklum balas daripada MKN selepas surat rayuan pertimbangan untuk beroperasi dihantar baru-baru ini.

"Kami berharap keputusan positif dapat diberikan secepat mungkin kerana kami tidak mampu bertahan untuk tempoh lebih lama.

"Pengusaha gunting rambut juga sudah membuktikan tahap kepatuhan SOP yang tinggi dan memastikan kebersihan premis sentiasa menjadi keutamaan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 January 2021 @ 1:44 PM