GAMBAR hiasan. FOTO NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO NSTP
Raja Noraina Raja Rahim


PERSATUAN Penggunting Rambut Bumiputera Malaysia (MBBA) memastikan caj gunting rambut pada tahap yang munasabah di sebalik jangkaan peningkatan kos perkhidmatan itu.

Difahamkan, caj gunting rambut dijangka meningkat berikutan pengusaha perlu menyediakan peralatan tambahan bagi memenuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Presiden MBBA TN Winda Mohd Tahir berkata, hasil perbincangan diadakan, pengusaha cenderung meningkatkan kos perkhidmatan dengan kenaikan paling rendah antara RM3 hingga RM5 seorang.

Beliau berkata, caj dikenakan itu munasabah mengambil kira kos peralatan pakai buang yang perlu digunakan setiap pelanggan, bukan untuk mengaut keuntungan.

Katanya, pengusaha diwajibkan membersihkan atau sanitasi peralatan yang digunakan setiap kali sebelum dan selepas penggunaannya.

"Tukang gunting perlu menggunakan pelitup muka, pelindung muka, sarung tangan pakai buang dan apron pakai buang ketika menerima pelanggan.

"Setiap pelanggan yang datang ke premis pula perlu menjalani pemeriksaan suhu, merekod pendaftaran dan menggunakan sanitasi tangan sebelum dibenarkan masuk ke dalam premis.

"Pelanggan kemudian dikehendaki memakai pelitup muka dan apron pakai buang ketika dalam premis," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Winda berkata, penyediaan semua kelengkapan itu adalah bagi memastikan keselamatan pelanggan daripada dijangkiti wabak Covid-19.

Katanya, SOP KKM turut mewajibkan kaedah temujanji untuk pelanggan warga emas bagi mengelak bercampur pelanggan lain manakala kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah mesti ditemani penjaga.

"Persatuan akan memastikan kos kenaikan nanti tidak melebihi RM5. Kita faham masyarakat hendak mendapatkan khidmat (gunting rambut) kerana sudah tiga bulan tidak beroperasi dan kita juga tahu ada masyarakat yang hilang kerja atau pendapatan," katanya.

Sebelum penularan wabak, caj gunting rambut di luar bandar antara RM10 hingga RM15 manakala di bandar antara RM20 hingga RM25.

Beliau menasihati pemain industri terutama ahlinya mematuhi SOP ditetapkan bagi mengelak penularan wabak dan wujud kluster gunting rambut.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Jun 2020 @ 1:26 PM