Ekhwan Haque Fazlul Haque

Kuala Lumpur: Selepas hampir sebulan tidak beroperasi, pengusaha kedai gunting rambut seluruh negara kini mampu menarik nafas lega apabila dibenarkan beroperasi.

Presiden Persatuan Penggunting Rambut Bumiputera Malaysia TN Winda Mohd Tahir berkata, walaupun lega namun pengusaha sudah diingatkan agar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketat kerajaan.

Menurutnya, pengusaha juga tidak mahu menjadi kepada pencetus kluster gunting rambut dan memastikan SOP dipatuhi sepenuhnya.

"Saya berharap industri ini dapat kembali pulih dan pengusaha kembali bernafas untuk meneruskan kelangsungan hidup.

"Pematuhan SOP pasti dilaksanakan kerana semua pihak mahu mencari rezeki untuk meneruskan hidup yang semakin mencabar," katanya ketika dihubungi.

PEKERJA kedai gunting rambut menggunakan pelitup muka ketika menggunting rambut pelanggan dengan mematuhi SOP yang lebih ketat. FOTO Aizuddin Saad
PEKERJA kedai gunting rambut menggunakan pelitup muka ketika menggunting rambut pelanggan dengan mematuhi SOP yang lebih ketat. FOTO Aizuddin Saad

Winda berkata, pengguna juga terbuka untuk membuat aduan kepada pihak berkuasa jika mendapati ada pengusaha yang culas dalam mematuhi SOP.

Katanya, ini membolehkan tindakan tegas diambil kepada mereka yang sambil lewa dalam pematuhan SOP.

Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan menerima banyak rayuan daripada rakyat terutama yang membabitkan perniagaan mikro untuk membuka perniagaan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Katanya, mesyuarat khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) hari ini bersetuju untuk membenarkan operasi bagi sektor perniagaan itu sehingga 10 malam.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Februari 2021 @ 1:11 PM