FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Ekhwan Haque Fazlul Haque


HAMPIR 70 peratus tukang gunting rambut diibaratkan 'nyawa-nyawa ikan' kerana masih tidak dibenarkan beroperasi selepas diarah menutup premis mereka sejak 18 Mac lalu.

Mendedahkan situasi terkini itu, Presiden Persatuan Penggunting Rambut Bumiputera Malaysia, T N Winda Mohd Tahir berkata, tukang gunting rambut Bumiputera masih buntu kerana kerajaan tidak membenarkan industri beroperasi.

Katanya, ramai pengusaha kedai gunting rambut kini 'nazak' kerana tiada punca pendapatan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

"Jika kami masih tidak dibenarkan beroperasi, sudah pasti ramai pengusaha akan gulung tikar kerana tiada pendapatan selain tidak layak menerima bantuan kerajaan.

"Sudah tiba masanya kerajaan meneliti semua prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat supaya industri ini dapat berjalan seperti biasa dengan mematuhi garis panduan ditetapkan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, persatuan juga sudah menggariskan SOP yang perlu dipatuhi ahli jika mahu kembali beroperasi namun masih menanti kata putus kerajaan.

Katanya, tahap kesihatan dan kebersihan akan dipertingkatkan bagi memastikan pekerja dan pelanggan tidak terdedah kepada risiko jangkitan Covid-19.

"Industri ini bakal mati jika kebenaran masih tidak dapat diberikan dan saya beri jaminan ahli akan patuh SOP yang digariskan demi meneruskan kelangsungan hidup.

"Jika tidak, saya khuatir akan ada perkhidmatan gunting rambut 'pintu belakang' yang akan berlaku kerana terpaksa demi sesuap nasi," katanya.

Tambahnya, pihaknya berharap kerajaan mempertimbangkan rayuan ini dan persatuan bersedia berbincang bagi mencari penyelesaian 'menang-menang' demi menjana semula ekonomi domestik.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan pembukaan semula industri sejak Isnin lalu namun beberapa perkhidmatan termasuk gunting rambut tidak tersenarai.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mei 2020 @ 12:55 PM