Mohd Rafi Mamat


Lipis: Semangat 'Jik Nyek Covid, Bei Vaksin' dalam bahasa suku kaum Semai yang bermaksud 'Kami Tak nak Covid, Jom Vaksin' menjadi sandaran kuat buat masyarakat Orang Asli di daerah ini untuk keluar beramai-ramai untuk mengikuti Program Outreach Vaksinasi (POV) Covid-19 di setiap pelusuk kampung daerah ini.

Kekuatan semangat rumah tradisional beratapkan daun pokok bertam serta lantai dan dinding buluh tempat program itu diadakan menambahkan lagi keyakinan masyarakat pribumi itu menyahut saranan kerajaan yang begitu mengambil berat tahap kesihatan mereka.

Sejak POV diperkenalkan di Pahang pada 16 Jun lalu yang berkonsepkan perkhidmatan sampai ke kawasan pedalaman, sambutan masyarakat Orang Asli terhadap suntikan vaksin Covid-19 begitu menggalakkan. Perasaan takut yang sebelum ini begitu menebal kini begitu pantas terhakis.

Bagi Wak Song Andong, 56, yang menetap di Rancangan Penempatan Semula (RPS) Betau, dekat sini, bersyukur apabila diberi peluang menerima vaksinasi Covid-19 secara sukarela tanpa perlu menunggu terlalu lama selepas mendaftar menggunakan borang pendaftaran yang disediakan tok batin.

Menurutnya, dengan POV, dia tidak perlu ke pusat pemberian vaksin disediakan kerajaan di klinik dengan perjalanan jauh, sebaliknya hanya tunggu sahaja rombongan pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) datang ke kampung untuk memberi suntikan.

Katanya, perasaan takut yang sebelum ini tebal bermain di fikiran dikikis apabila dapat bertemu ramai jiran sekampung, kami sama-sama mendaftar, mendengar taklimat ringkas dan menunggu giliran untuk menerima suntikan.

"Perasaan takut semakin berkurangan apabila menerima layanan terbaik daripada pegawai perubatan dan jururawat yang bertugas, mereka begitu profesional memberi perkhidmatan walaupun terpaksa berjalan jauh untuk sampai ke kampung kami.

"Saya bersyukur impian untuk mendapatkan vaksin Covid-19 yang disarankan kerajaan menjadi kenyataan, dos pertama sudah diterima hari ini (semalam) tanpa sebarang masalah," kata nenek lima cucu itu.

Dia berkata demikian selepas POV Covid-19 di Kampung Meter di RPS Betau di sini, semalam.

Turut memantau program berkenaan Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Pahang Johari Alwi dan Pakar Perubatan Keluarga Klinik Kesihatan Sungai Koyan, Dr Rafidah Mahmud selaku pakar rujukan program berkenaan.

JURURAWAT Klinik Kesihatan Sungai Koyan memberi suntikan untuk masyarakat Orang Asli pada POV Covid-19 di RPS Betau.
JURURAWAT Klinik Kesihatan Sungai Koyan memberi suntikan untuk masyarakat Orang Asli pada POV Covid-19 di RPS Betau.

Wak Song yang mempunyai 10 anak mengakui perasaan takut menerima suntikan dapat dikurangkan lagi apabila program suntikan itu dibuat dalam rumah penduduk Kampung Meter, semangat roh rumah tradisional Orang Asli yang diperbuat daripada buluh seolah membangkitkan lagi keberanian.

Bagi Suhairi Nor Azmi, 20, dari Kampung Harun, Pos Pantos, kesedaran untuk mengelak daripada dijangkiti wabak Covid-19 yang melanda negara kini mendorong dia menerima tawaran vaksinasi percuma yang disediakan kerajaan.

"Borang persetujuan untuk menerima vaksin disediakan Tok Batin, saya tidak perlu menunggu lama selepas mengisi borang berkenaan. Begitu mudah, ringkas dan cepat.

"Saya seronok melihat ramai jiran sekampung turut sama menerima vaksin, generasi muda dan tua yang sebelum ini begitu takut untuk menerima suntikan namun akhirnya akur dengan saranan kerajaan, mereka keluar beramai-ramai secara suka rela menghadiri POV Covid-19 di Dewan Orang Ramai Pos Pantos," katanya.

Tambahnya lagi, semua Orang Asli berumur 18 tahun ke atas dinasihatkan supaya segera mendaftar untuk menerima vaksin Covid-19, mereka tidak seharusnya terlalu terpengaruh dengan pelbagai cerita tidak benar pihak tidak bertanggungjawab yang menyebabkan cerita tidak benar mengenai suntikan berkenaan.

Sementara itu Johari berkata, kini hampir 1,000 masyarakat Orang Asli di seluruh negeri ini menerima suntikan vaksin Covid-19 jenis Sinovac yang disediakan kerajaan menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (Pick).

Katanya, bagi masyarakat Orang Asli luar bandar mereka diberi peluang menerima suntikan vaksin POV di setiap daerah di negeri ini, program bermula 16 Jun lalu dijalankan secara berperingkat.

Menurutnya, di negeri ini ada 54,000 masyarakat Orang Asli yang layak untuk menerima suntikan vaksin Covid-19, namun sambutan yang diterima sebelum ini amat rendah disebabkan pengaruh cerita yang tidak benar disebarkan pihak tidak bertanggungjawab.

"Saya bersyukur selepas POV diperkenalkan minggu lalu sambutan masyarakat Orang Asli begitu menggalakkan, mereka secara sukarela mengisi borang vaksinasi yang disediakan dan memulangkan kepada Tok Batin dan jawatankuasa dilantik di setiap penempatan.

"Rata-rata masyarakat Orang Asli yang ditemui menyatakan kehadiran pegawai dan jururawat KKM ke kampung mereka untuk memberi vaksin Covid-19 menjadi pendorong untuk mereka menerima suntikan," katanya.

Beliau berkata, selain dewan turut dijadikan PPV ialah rumah tradisional penduduk di beberapa kampung terpilih, kerjasama diberikan pegawai dan jururawat KKM)menjadi faktor utama kejayaan program terbabit.

Johari berkata, daerah Maran dan Lipis kini menjadi perintis POV yang mendapat sambutan begitu menggalakkan apabila kini sudah hampir 1,000 Orang Asli berumur 18 tahun ke atas di negeri itu menerima suntikan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Jun 2021 @ 7:01 AM