Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Berang: Iniasitif petugas kesihatan, Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dan wakil penduduk turun padang memberi penerangan dari rumah ke rumah berjaya menyakinkan masyarakat Orang Asli di Kampung Sungai Berua di sini untuk menerima suntikan Covid-19.

Langkah diambil itu bagi memberi keyakinan kepada masyarakat Orang Asli di perkampungan itu yang sebelum ini masih takut kerana terpengaruh dengan pelbagai cerita negatif yang disebarkan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Sungai Berua, Alias Pelong berkata, dia bersyukur apabila program suntikan vaksinasi yang dilakukan mendapat sambutan apabila penduduk di sini turun memberi kerjasama.

ROSOL (dua kiri) meninjau proses suntikan vaksin COVID-19 kepada orang asli suku Semaq Beri di Perkampungan Orang Asli Sungai Berua hari ini. FOTO Ghazali Kori
ROSOL (dua kiri) meninjau proses suntikan vaksin COVID-19 kepada orang asli suku Semaq Beri di Perkampungan Orang Asli Sungai Berua hari ini. FOTO Ghazali Kori

"Sebelum ini, saya berdepan cabaran untuk memujuk mereka menerima suntikan vaksin kerana mereka terperdaya dengan berita negatif mengenai vaksin termasuk boleh membawa maut.

"Bagi menyakinkan mereka, saya mengambil pendekatan pergi dari rumah ke rumah untuk memberi penerangan dan Alhamdulilah, mereka sedar akan kepentingan vaksin yang bukan sahaja untuk keselamatan mereka tetapi bagi memudahkan urusan harian kami.

"Apabila suntikan ini diterima, kami boleh menjalani kehidupan harian seperti biasa termasuk untuk ke kedai dan sebagainya memandangkan ada sesetengah premis tidak membenarkan atau menerima pelanggan yang belum menerima suntikan," katanya ketika ditemui selepas proses vaksinasi di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Kampung Sungai Berua di sini, hari ini.

Turut hadir, Ahli Parlimen Hulu Terengganu yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna,Datuk Rosol Wahid dan Pengarah Kesihatan Negeri Datuk Dr Kasemani Embong.

Sementara itu, Dr Kasemani berkata, seramai 327 masyarakat Orang Asli di Kampung Sungai Berua menerima suntikan vaksin CanSino hari ini manakala seramai 398 masyarakat Orang Asli di Sungai Pergam, Kemaman akan menerima suntikan sama esok.

Secara keseluruhannya, katanya, terdapat seramai 747 masyarakat Orang Asli di negeri ini layak menerima suntikan vaksin Covid-19 termasuk 22 orang lagi dari perkampungan Kuala Sayap, Hulu Besut.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 September 2021 @ 7:03 PM