Mohd Khidir Zakaria


Port Dickson: "Masyarakat Orang Asli ini pada mulanya tidak mahu mengambil suntikan vaksin Covid-19, ada sentimen 'takut jarum', ada pula nak tunggu dan lihat.

"Mereka berpendapat, lebih selamat tinggal di kampung tanpa bercampur dengan masyarakat luar, namun selepas diberitahu vaksin ini selamat, akhirnya mereka mula menerima," kata Pengarah Jabatan Khas Orang Asli (JKOA) Negeri Sembilan dan Melaka, Shahrani Idderis.

Hari ini, seramai 97 penduduk daripada keseluruhan 174 penduduk Kampung Orang Asli di Bukit Kepong, di sini, sudah mendaftar program suntikan vaksin pertama bagi masyarakat itu di negeri ini.

Shahrani berkata, JKOA Negeri Sembilan menyasarkan 15,000 penduduk Orang Asli di seluruh negeri itu mengikuti program vaksinasi dan kini sudah lebih 8,000 orang mendaftar.

"Kita nampak mereka (Orang Asli) semakin berminat dan ramai yang mula berfikiran positif (menerima vaksin) dan Port Dickson daerah pertama selain dua lagi kampung Orang Asli di sini yang belum lagi dibuat program (suntikan vaksin).

"Kita ada maklumat seperti di Seremban ada 12 program seperti ini akan dibuat termasuk di Jempol ada 16 perkampungan Orang Asli juga kita akan aturkan mengikut keselesaan penduduk," katanya.

Seorang petugas kesihatan membuat suntikan vaksin kepada seorang penerima di Kampung Orang Asli Bukit Kepong. FOTO AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN
Seorang petugas kesihatan membuat suntikan vaksin kepada seorang penerima di Kampung Orang Asli Bukit Kepong. FOTO AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN

Sementara itu, warga emas, Bubot Tahat 84, pada mulanya dia gementar untuk menerima suntikan vaksin tetapi selepas dipujuk cucunya, Suzaina Kamil, 34, dia bersetuju menerima vaksinasi.

"Saya beritahu dia (cucu), saya takut, namun cucu beritahu tidak sakit dan ia baik untuk kesihatan.

"Benar, rasanya seperti digigit semut dan vaksin itu baik untuk saya kerana saya sudah tua yang memerlukan ubat (vaksin) bagi menjaga saya daripada wabak Covid-19," kata nenek kepada 13 cucu ini.

Bagi Tok Batin Kampung Bukit Kepong, Omar Gomeng, 66, dia lega kerana sebahagian besar penduduk kampungnya setuju menerima vaksin Covid-19.

"Hari ini separuh penduduk kampung sudah mendaftar untuk dicucuk vaksin malah saya sekeluarga juga turut mendaftar untuk menerima vaksin.

"Sebelum ini, hanya seorang penduduk kampung ini pernah dijangkiti Covid-19 yang didapati positif daripada tempat kerjanya di luar kampung, namun dia tinggal di luar kampung," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Jun 2021 @ 2:57 PM