KENDERAAN mangsa yang terbakar selepas terbabit kemalangan. FOTO ihsan JBPM
KENDERAAN mangsa yang terbakar selepas terbabit kemalangan. FOTO ihsan JBPM
Nurul Hidayah Bahaudin


Hulu Selangor: Pemandu kereta maut selepas kenderaan dipandunya terbakar dalam kemalangan di Kilometer 407 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara, dekat sini, hari ini.

Dalam kejadian itu, kenderaan dinaiki mangsa dipercayai terbabas sebelum melanggar lori dan penghadang jalan.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor Hafisham Mohd Noor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 5.14 petang.

"Seramai lapan anggota bersama tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanjung Malim dan BBP Sentosa dikejarkan ke lokasi.

"Sebaik tiba, kami mendapati terdapat kebakaran membabitkan kereta jenis Ssangyong yang terbakar selepas terbabit dalam kemalangan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

ANGGOTA bomba memadamkan kebakaran berkenaan. FOTO ihsan JBPM
ANGGOTA bomba memadamkan kebakaran berkenaan. FOTO ihsan JBPM

Katanya, kereta dipandu mangsa dipercayai terbabas lalu melanggar sebuah lori dan penghadang jalan di lokasi berkenaan.

"Kemalangan itu menyebabkan kereta mangsa terbakar. Mangsa dikatakan tersepit di dalam kenderaan dan kerja-kerja mengeluarkan mangsa dilakukan selepas api dipadamkan. Setakat ini, identiti mangsa belum dapat dipastikan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Ogos 2021 @ 7:24 PM