GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Balqis Jazimah Zahari

Kampar: Polis menahan tiga lelaki warga Indonesia kerana bukan saja tiada dokumen, malah ingkar prosedur operasi standard (SOP) di sekatan jalan raya (SJR) di Kilometer 43 Jalan Ipoh-Teluk Intan, Mambang Diawan, di sini, malam semalam.

Dalam kejadian pada 10 malam, polis menahan sebuah Proton Wira dinaiki empat lelaki termasuk tiga warga asing berusia 22 tahun itu untuk pemeriksaan.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Hasron Nazri Hashim berkata, pemeriksaan awal terhadap kenderaan itu mendapati ia sudah melanggar SOP iaitu melebihi had penumpang.

"Polis yang membuat pemeriksaan lanjut mendapati pemandu kereta itu adalah warga tempatan dan terdapat tiga lelaki warga Indonesia di dalam kenderaan sama.

"Siasatan kemudian mendapati tiga lelaki warga Indonesia berkenaan tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

"Malah, mereka mengaku membayar sebanyak RM400 sebagai tambang perjalanan kepada pemandu terbabit untuk pergi (merentas daerah) ke Ipoh," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Hasron Nazri Hashim berkata, pemandu berusia 31 tahun itu yang gagal mengemukakan borang rentas daerah dikompaun RM5,000 manakala tiga warga asing terbabit ditahan untuk siasatan lanjut.

Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati pemandu kereta itu mendakwa tidak mengetahui warga asing terbabit tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

"Salah seorang warga Indonesia itu menawarkan wang RM1,400 kepada pemandu sebagai upah untuk ke Ipoh, di mana RM400 dibayar sebagai pendahuluan manakala baki akan dijelaskan selepas sampai ke destinasi.

"Tujuan mereka mahu ke Ipoh untuk bertemu rakan mereka selain mencari kerja baru, malah turut mengaku masuk ke negara ini sejak Oktober dua tahun lalu dan datang ke Perak bekerja sebagai pengait buah sawit," katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 16 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (no.3) 2021 dan Peraturan 4 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (no.3) 2021.

"Ketiga-tiga warga Indonesia berkenaan kini direman selama 14 hari mulai hari ini hingga 1 Julai hadapan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Jun 2021 @ 6:30 PM