Antara GRO yang ditahan dalam operasi di sebuah pusat hiburan di Subang Jaya, malam tadi. FOTO Norizuan Shamsuddin
Antara GRO yang ditahan dalam operasi di sebuah pusat hiburan di Subang Jaya, malam tadi. FOTO Norizuan Shamsuddin
Norizuan Shamsuddin


MAMPU meraih pendapatan sehingga RM400 sehari hasil melayan lelaki ‘hidung belang’ berhibur.

Pendapatan itu diperolehi wanita warga asing yang dikesan bekerja sebagai wanita pelayan pelanggan (GRO) di sebuah pusat hiburan di USJ 21/10, Subang Jaya.

Bagaimanapun, kegiatan pusat hiburan terbabit yang menggajikan warga asing tanpa permit dihidu Bahagian Perjudian, Maksiat dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor yang melakukan serbuan malam tadi.

Dalam serbuan 11.30 malam itu, pasukan D7 IPK Selangor menahan 10 individu termasuk tujuh GRO.

Pegawai Turus D7 IPK Selangor Deputi Superintendan Azmi Syukor berkata, serbuan dilakukan hasil risikan yang mendapati premis itu menggunakan khidmat warga asing tanpa permit sebagai GRO.

“Hasil serbuan kami menahan tujuh wanita warga asing disyaki GRO membabitkan lima warga Filipina dan dua warga Thailand yang dikesan menyalahgunakan pas lawatan sosial.

“Kita turut menahan dua lelaki warga Bangladesh disyaki bekerja di premis terbabit dan seorang lelaki tempatan berusia 50-an yang disyaki penjaga premis.

“Pemeriksaan turut dilakukan terhadap 30 pelanggan premis tetapi tiada tangkapan,” katanya ketika ditemui di lokasi serbuan.

Azmi berkata, semakan mendapati premis itu mempunyai lesen tetapi didapati melakukan kesalahan dengan menggajikan warga asing tanpa permit sah.

“Soal siasat mendapati pelanggan yang mahu mendapatkan khidmat layanan GRO untuk berhibur perlu membuat bayaran tertentu bermula RM50 sejam.

“GRO terbabit mampu meraih pendapatan antara RM300 hingga RM400 sehari dengan melayan pelanggan minum dan berkaraoke.

“Kita pernah serbu premis ini April lalu dan didapati kembali beroperasi dengan menjalankan kegiatan sama,” katanya.

Menurutnya, semua suspek berusia 20 hingga 50-an terbabit di bawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 55b Akta Imigresen 1959/63 kerana menggajikan pekerja asing tanpa permit dan Peraturan 39(b) Peraturan- Peraturan Imigresen 1963 kerana salahgunakan pas lawatan sosial,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Jun 2019 @ 2:06 AM