KENDERAAN pacuan empat roda yang dinaiki lima lelaki di Bera. FOTO Ihsan PDRM
KENDERAAN pacuan empat roda yang dinaiki lima lelaki di Bera. FOTO Ihsan PDRM
Asrol Awang

Bera: Lima pekerja kilang kelapa sawit termasuk empat warga asing ditahan kerana cuba merentas negeri tanpa kebenaran di sekatan jalan raya (SJR) di Kilometer 43, Jalan Temerloh-Bahau di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Bera, Deputi Superintendan Mansor Samsuddin berkata, lelaki tempatan berusia 23 tahun, manakala empat warga asing berusia 30 hingga 38 tahun.

Katanya, kelima-lima mereka yang menaiki kenderaan pacuan empat roda jenis Isuzu dari Gemenceh, Negeri Sembilan ditahan dalam SJR berkenaan ketika dalam perjalanan ke sebuah kilang sawit di Maran pada 3.45 petang.

"Hasil pemeriksaan mendapati lelaki tempatan gagal mengemukakan surat kebenaran rentas negeri dan pemeriksaan lanjut mendapati empat warga asing itu gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.

"Berikutan itu, mereka ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Peraturan 18(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021, Seksyen 55A dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963," katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.

Beliau berkata, mereka turut menjalani ujian saringan Covid-19 di Klinik Kesihatan Triang.

"Lelaki tempatan yang juga pemandu ditahan reman empat hari manakala empat warga asing direman selama 14 hari untuk siasatan lanjut," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Mac 2021 @ 7:13 PM