GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Balqis Jazimah Zahari


Kampar: Lelaki warga Myanmar ditemukan mati dipercayai dibunuh dalam pergaduhan di kebun sayur Ayer Hitam Labu, Tronoh Mines, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Hasron Nazri Hashim berkata, polis menerima laporan jam 9.56 pagi daripada pekebun sayur yang menemui mayat disyaki pekerjanya dalam keadaan berlumuran darah pada jam 7 pagi.

"Pemeriksaan rambang pada fizikal si mati mendapati ada beberapa kesan hentakan objek tumpul di kepala dan koyakan di muka," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Hasron Nazri berkata, turut ditemui di tempat kejadian ialah sebilah tukul besi yang terdapat kesan darah, sebilah parang berukuran 60 sentimeter dan botol atau tin minuman keras. Menurutnya, mayat dijumpai kira-kira 20 meter dari pondok yang digunakan sebagai tempat penginapan (rumah kongsi), bagaimanapun pemeriksaan di pondok tidak menemui apa-apa pengenalan diri mangsa.

"Berdasarkan siasatan awal, kejadian dipercayai berpunca daripada pergaduhan di antara si mati dan suspek dalam keadaan mabuk.

"Suspek dipercayai menggunakan tukul besi yang dijumpai di tempat kejadian sebagai senjata untuk memukul kepala si mati," katanya.

Beliau berkata, sepasukan pegawai dan anggota polis menahan seorang lelaki di Stesen Bas Kampar Putra pada jam 3.30 petang.

"Empat suspek utama kesemuanya adalah warga Myanmar, yang mana seorang adalah rakan sekerja manakala tiga lagi rakan luar.

"Satu tangkapan dibuat membabitkan seorang pekerja di kebun sayur yang tinggal di pondok yang berlainan bagi membantu siasatan," katanya.

Beliau berkata, kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Katanya, mayat dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh untuk bedah siasat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 April 2021 @ 10:13 PM