GAMBAR fail, sekdar hiasan. FOTO NSTP
GAMBAR fail, sekdar hiasan. FOTO NSTP
Mohd Amin Jalil


Seremban: Kira-kira lima peratus sahaja penduduk di Negeri Sembilan yang belum menerima tarikh janji temu program vaksinasi menerusi aplikasi MySejahtera setakat ini.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S Veerapan berkata, 95 peratus individu yang berdaftar sudah mendapat tarikh janji temu dengan 82.2 peratus sudah menerima vaksin.

"Setakat ini seramai 669,671 orang atau 82.23 peratus rakyat negeri ini sudah menerima suntikan vaksin dos pertama manakala seramai 468,022 orang atau 57.47 peratus pula berjaya melengkapkan kedua-dua dos suntikan.

"Mereka yang mendaftar vaksinasi pula mencecah 809,069 orang atau 99.30 peratus daripada jumlah penduduk yang berusia 18 tahun ke atas," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Beliau berkata, setakat ini juga vaksinasi harian sudah mencecah 6,953 orang bagi dos pertama dan 14,832 bagi dos kedua.

Menurutnya, Negeri Sembilan menyediakan sebanyak 107 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang beroperasi sejak April lalu.

Katanya, selain itu lebih 150 program bantuan (outreach) vaksinasi turut dilaksanakan bagi memudahkan orang ramai hadir di PPV membabitkan warga emas, penduduk di pedalaman, pesakit terlantar dan pelbagai kategori lain.

"Kesedaran penduduk di negeri ini untuk mendapat suntikan vaksin Covid-19 semakin meningkat apabila ramai kalangan mereka tampil mendapatkan vaksin di program outreach vaksinasi," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Ogos 2021 @ 4:54 PM