GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Takut kesan sampingan antara faktor penolakan vaksin Covid-19 di Kelantan hingga menyebabkan kadar vaksinasi negeri ini antara yang terendah.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) Datuk Dr Zaini Hussin berkata, anggaran populasi penduduk dewasa berusia 18 tahun ke atas berdasarkan jumlah 2010 turut menjadi cabaran.

Menurutnya, menurut hasil bancian penduduk pada 2020 yang Pejabat Jajahan-Jajahan Kelantan, jumlah penduduk dewasa negeri ini adalah kira-kira 1.1 juta orang berbanding 1.2 juta pada 2010.

Perbezaan itu disebabkan migrasi rakyat keluar dan mungkin ada yang sudah mendapat suntikan di negeri lain.

Katanya, cabaran itu menyebabkan Kelantan tidak dapat mencapai kadar 90 peratus pemberian vaksin.

Sehingga semalam, 77.3 peratus populasi dewasa di Kelantan sudah lengkap divaksin.

"Sehingga Rabu lalu, 74.2 peratus orang dewasa negeri ini berdaftar di MySejahtera dan agak ramai yang enggan menerima suntikan vaksin Covid-19 kerana ianya dianggap masih baru dan rakyat Kelantan takut akan kesan sampingan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Bagaimanapun, pelbagai kaedah dilakukan untuk meningkatkan kadar vaksinasi di negeri ini termasuk program '' bermula Jun lalu yang meliputi golongan warga emas serta kawasan pedalaman dan lokasi tiada kemudahan Internet.

"Pemberian vaksinasi tidak difokuskan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) awam sahaja, tetapi turut merangkumi kawasan mengikut parlimen atau dewan undangan negeri (DUN). Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangam Negeri (Adun) turut membantu dalam promosi dan pemberian vaksin," katanya.

Pada masa yang sama, Dr Zaini berkata, Sultan Kelantan juga turut berkenan supaya kawasan Istana Kota Lama dijadikan PPV.

Katanya, PPV industri diwujudkan bagi mengekang kluster tempat kerja, selain kerjasama antara agensi, dengan badan bukan kerajaan (NGO) dan pengamal perubatan swasta membantu dalam pemberian vaksinasi.

"Cara ini menunjukkan kesan positif kerana mendapat sambutan apabila vaksinasi dalam kalangan pelajar sekolah berusia antara 12 hingga 17 tahun adalah amat baik dan sehingga 21 Oktober lalu kadar vaksin dos pertama adalah sebanyak 88.6 peratus dan 78.6 peratus bagi dos kedua," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Oktober 2021 @ 1:42 PM