Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Nerus: Kerajaan belum memuktamadkan lagi penggunaan gabungan dua vaksin Covid-19 jenis AstraZeneca and Pfizer dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Menteri Penyelaras Khairy Jamaluddin berkata, perkara itu masih dalam kajian dan penelitian sedang dilaksana sebelum membuat sebarang keputusan.

"Ia sudah dibentangkan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) dua minggu lalu, tetapi belum dimuktamadkan kumpulan jawatankuasa teknikal," katanya selepas ditemui ketika melawat Pusat Pemberian Vaksin Stadium Gong Badak di sini, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan Khairy sebagai berkata, kaedah "mix-and-match" dalam penggunaan vaksin Covid-19 yang sedia ada boleh dilaksanakan untuk meningkatkan keberkesanan vaksin terhadap varian Covid-19.

Dilaporkan juga, kerajaan memiliki beberapa data yang diterima daripada Jerman mengenai vaksinasi heterologi menggunakan AstraZeneca bagi dos pertama dan Pfizer untuk dos kedua, yang telah terbukti meningkatkan peneutralan antibodi dan menjadi lebih efektif terhadap varian.

Dalam pada itu, Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, lebih 200,000 dos vaksin akan dihantar ke Terengganu pada awal Julai ini yang secara tidak langsung dapat meningkatkan lagi jumlah suntikan harian sehingga 12,000 dos sehari.

Terdahulu, kerajaan Terengganu meletakkan sasaran untuk mencapai 80 peratus vaksinasi bagi rakyat negeri itu dalam tempoh empat bulan, sehingga November ini.

Setakat 14 Jun lalu, sebanyak 12.77 peratus iaitu berjumlah 103,297 individu di negeri itu telah memperoleh dos kedua vaksin.

KHAIRY Jamaluddin (kanan) bersama Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar (kiri) ketika ditemui media selepas melawat PPV Stadium Tertutup Gong Badak, Terengganu. FOTO Ghazali Kori.
KHAIRY Jamaluddin (kanan) bersama Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar (kiri) ketika ditemui media selepas melawat PPV Stadium Tertutup Gong Badak, Terengganu. FOTO Ghazali Kori.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Jun 2021 @ 4:37 PM