Gambar hiasan. FOTO ARKIB NSTP
Gambar hiasan. FOTO ARKIB NSTP
Aizat Sharif
am@hmetro.com.my


Kangar: Kerajaan Perlis bersetuju membuka sebuah lagi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Kubang Gajah, di Arau, berikutan peningkatan pengambilan vaksin Covid-19 di Perlis.

Dalam masa sama, selaras dengan berlakunya peningkatan mendadak kes penularan jangkitan Covid-19 di Perlis, kerajaan negeri turut menjadikan Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Perlis di Kangar sebagai Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) yang terbaru di negeri itu.

Pengerusi Pasukan Petugas Imunisasi Covid-19 (CITF) Negeri Perlis, Azman Mohd Yusof berkata, PPV UniMAP Kubang Gajah, Arau dan PKRC IPG Kampus Perlis, Kangar akan mula dibuka bermula minggu hadapan.

"Pembukaan PPV di UniMAP Kubang Gajah, Arau boleh menampung 700 hingga 800 orang itu sebagai memperbanyakkan kemudahan pemberian vaksin Covid-19 di negeri ini selepas kita dapati pemberian suntikan vaksin itu semakin meningkat hari demi hari.

"Sehingga Khamis lalu, bilangan orang yang sudah mendapatkan vaksin semakin meningkat di mana daripada populasi penduduk 254,900 orang, sebanyak 116,221 atau 45.6 peratus orang sudah pun melengkapkan suntikan dua dos vaksin Covid-19.

"Manakala, 151,659 atau 59.5 peratus individu di negeri ini sudah mendapatkan sekurang-kurangnya satu dos vaksin dan daripada jumlah populasi itu juga, 181,200 membabitkan individu berusia 18 tahun ke atas dengan 64.1 peratus individu sudah melengkapkan dua dos suntikan manakala 83.7 peratus pula sudah selesai suntikan satu dos vaksin Covid-19 ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media selepas mengiringi Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN), Datuk Wasitah Mohd Yusof melakukan lawatan dan tinjauan sempena Program MyVac Dihatiku@Rakan Muda anjuran JBS Negeri Perlis di PPV Dewan 2020, di sini, hari ini.

Katanya, berdasarkan pendaftaran vaksin oleh rakyat Perlis menerusi aplikasi MySejahtera didapati 179,306 atau 70.3 peratus daripada populasi penduduk Perlis sudah pun membuat pendaftaran berkenaan.

"Sebanyak 91 peratus pendaftaran dilakukan membabitkan golongan berusia 18 tahun ke atas manakala 90.9 peratus adalah golongan warga emas berusia 60 tahun ke atas.

"Selain itu juga, dengan keadaan penularan jangkitan Covid-19 yang akan meningkat di negeri ini akhir ini sehingga menyebabkan jumlah katil yang digunakan juga bertambah kita bersetuju menjadikan IPG Kampus Perlis, Kangar sebagai tambahan kepada PKRC di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) dan Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) yang turut terletak di Kangar," katanya.

Beliau berkata, daripada 11 katil di Unit Rawatan Rapi (ICU) HTF, 10 sudah pun digunakan untuk merawat pesakit Covid-19 di negeri ini.

"Manakala kesemua 185 katil yang berada di wad di seluruh hospital itu juga sudah pun digunakan sehingga pihak hospital kini meletakkan katil tambahan untuk merawat pesakit yang ada.

"Selain itu, di kemudahan PKRC di ILKKM pula daripada 132 katil yang disediakan, 124 sedang digunakan dan di PKRC Pusat Koreksional Perlis pula, daripada 200 buah katil yang disediakan, 120 daripada sedang digunakan untuk merawat pesakit Covid-19 yang ditahan dalam penjara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Ogos 2021 @ 4:55 PM