Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Walaupun terpaksa menggunakan dua tongkat untuk berjalan, namun ia tidak menghalang seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) untuk mendapatkan vaksin Covid-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di sini, semalam.

Lelaki berkenaan, Mohd Faiza Fauzi, 43, yang mengalami masalah tulang lembut itu ke PPV sementara di Dewan Tan Sri Murad Ahmad di Penjara Pengkalan Chepa di sini, bersama isterinya, Zuriabita Mohamad, 40, bagi mendapatkan suntikan berkenaan.

Bapa kepada tiga anak itu berkata, dia bersemangat untuk mengambil vaksin bagi melindungi dirinya kerana mengalami masalah tulang lembut sejak kecil lagi.

"Keadaan menjadi lebih teruk apabila saya terbabit dalam kemalangan lima tahun lalu membuatkan kedua-dua kaki saya hilang upaya dan perlu berjalan menggunakan bantuan tongkat.

"Saya bergantung kepada tongkat untuk bergerak, namun saya bersyukur kerana masih mampu mencari rezeki sebagai ejen insurans untuk menyara isteri dan anak-anak.

"Saya risau jika tidak mengambil vaksin dan memilih untuk berkurung di rumah dan tidak keluar untuk mencari pelanggan kerana terdedah dengan bahaya Covid-19.

"Alhamdulillah, kini saya dan isteri sudah divaksin. Jadi kami berharap boleh bekerja seperti biasa untuk mencari pelanggan bagi menyara kehidupan," katanya yang berdaftar di aplikasi MySejahtera sejak Februari lalu bagi mendapatkan vaksin.

Menurutnya, kemudahan di PPV itu juga mesra OKU apabila mengutamakan golongan istimewa dan warga emas apabila tidak perlu menunggu lama.

Mohd Faiza menerima suntikan vaksin di PPV sementara di Dewan Tan Sri Murad Ahmad di Penjara Pengkalan Chepa, Kota Bharu semalam. Foto Nik Abdullah Nik Omar
Mohd Faiza menerima suntikan vaksin di PPV sementara di Dewan Tan Sri Murad Ahmad di Penjara Pengkalan Chepa, Kota Bharu semalam. Foto Nik Abdullah Nik Omar

"Petugas juga membantu saya dengan memberi saya guna kerusi roda dan menolaknya sehingga proses vaksin selesai. Kemudahan sebegini memudahkan golongan seperti saya untuk mendapatkan vaksin.

"Saya berharap golongan OKU lain juga tampil untuk mengambil vaksin kerana ia tidak sakit pun dan prosesnya sekejap.

"Ia penting untuk melindungi diri kerana ketika ini kes Covid-19 masih lagi tinggi dan kita terdedah dengan bahaya," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Jun 2021 @ 10:44 AM