PEGAWAI Perubatan Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) memberi suntikan vaksin kepada tahanan Penjara Pengkalan Chepa sambil disaksikan oleh Pengarah Penjara Pengkalan Chepa, Penolong Kanan Komisioner Wan Sani Abdul Latiff (kanan) ketika Program Outreach KPT Prihatin, Komuniti Sejahtera (KRIS). FOTO Ihsan Jabatan Penjara Pengkalan Chepa
PEGAWAI Perubatan Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) memberi suntikan vaksin kepada tahanan Penjara Pengkalan Chepa sambil disaksikan oleh Pengarah Penjara Pengkalan Chepa, Penolong Kanan Komisioner Wan Sani Abdul Latiff (kanan) ketika Program Outreach KPT Prihatin, Komuniti Sejahtera (KRIS). FOTO Ihsan Jabatan Penjara Pengkalan Chepa
Hazira Ahmad Zaidi

Kota Bharu: Pemberian vaksin melalui Program Outreach KPT Prihatin, Komuniti Sejahtera (KRIS) kepada komuniti rentan seperti tahanan dalam penjara diyakini mampu mencegah penularan Covid-19, sekali gus membantu negara mencapai imuniti kelompok dengan cepat.

Timbalan Pengarah Klinikal Hospital Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Madya Dr Zaidi Zakaria berkata, pemberian vaksin melalui program KRIS dilaksanakan secara berkala mengikut jadual ditetapkan bertujuan membantu Jabatan Penjara Malaysia Negeri Kelantan mengawal penularan wabak berbahaya terutama bagi Kluster Tembok.

Beliau berkata, kerjasama antara Hospital USM dan Penjara Pengkalan Chepa antara usaha bagi meneruskan kelangsungan program kesihatan pada masa akan datang.

"Melalui program Outreach KRIS ini, Hospital USM sudah bersetuju untuk menjalankan aktiviti pemberian vaksin kepada tahanan Penjara Pengkalan Chepa, Penjara Satelit Pasir Mas, Pusat Reintegrasi Kem Desa Pahlawan, Machang dan Pusat Reintegrasi Batu Jong, Kuala Krai.

"Saya yakin program pemberian vaksin kepada golongan rentan ini dapat dilaksanakan sepenuhnya sebagai usaha memutuskan rantaian Covid-19 yang menular dalam kalangan tahanan di penjara," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, beliau terdahulu menghadiri Program KRIS di Penjara Pengkalan Chepa. Hadir sama, Pengarah Penjara Pengkalan Chepa, Penolong Kanan Komisioner Wan Sani Abdul Latiff.

Dr Zaidi berkata, program Outreach pemberian vaksin itu bertujuan untuk membantu Pusat Pemberian Vaksin Khas (SPPV) Hospital USM menggunakan secara maksimum peruntukan bekalan vaksin diberikan Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) Negeri dan Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK).

Beliau berkata, pihaknya memberi suntikan vaksin kepada 200 hingga 350 orang untuk setiap sesi bergantung kepada bekalan dos vaksin diperuntukkan SPPV Hospital USM.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 September 2021 @ 4:41 PM