BERNAMA

Batu Gajah: Kerajaan belum bercadang untuk memberikan suntikan vaksinasi kepada pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021, kata Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali.

Beliau berkata, setakat ini keutamaan pemberian vaksin bagi fasa kedua Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan kepada golongan warga emas, golongan 60 tahun ke atas dan ia perlu mengikut turutan fasa yang ditetapkan.

"Fokus sekarang ialah kepada warga emas kemudian orang yang berkepentingan seperti mereka yang mempunyai urusan untuk ke luar negara. Kita perlu ikut urutan golongan mana yang perlu mendapatkan vaksin dahulu.

GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN

"Apabila kita buka sahaja fasa ketiga pemberian vaksin untuk golongan membabitkan dewasa berumur 18 tahun ke atas, jadi mereka boleh menerima suntikan," katanya selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Bandaran Kinta, di sini, hari ini.

Sebelum ini, Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru) Mohd Azizee Hasan mencadangkan calon SPM 2021 dan guru, wajar dipertimbang untuk disuntik vaksin Covid-19 supaya persiapan menghadapi peperiksaan itu tidak terjejas selain membolehkan mereka menghadiri kelas bersemuka.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Jun 2021 @ 5:59 PM