GAMBAR hiasan. FOTO NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO NSTP
Nuraliawati Sabri


Melaka: Empat individu termasuk tiga warga asing ditahan selepas dipercayai menggunakan identiti individu lain bagi pendaftaran vaksin Covid-19 melalui aplikasi MySejahtera, Rabu lalu.

Kesemua mereka ditahan dalam dua serbuan berasingan antara 2.30 petang hingga 7.30 malam oleh sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negeri.

Ketua JSJK negeri Superintendan E Sundra Rajan berkata, tangkapan pertama dibuat di sebuah klinik di Bandar Hilir membabitkan wanita warga asing yang didakwa ke premis itu bagi mendapatkan suntikan vaksin dos kedua.

Beliau berkata, pasukan polis yang ke lokasi kejadian kemudian melakukan semakan MySejahtera digunakan oleh suspek berusia 30 tahun dan mendapati maklumat yang didaftarkan di aplikasi itu adalah milik individu lain.

"Hasil tangkapan ke atas suspek polis kemudian merampas satu kad vaksinasi atas namanya serta pas Jabatan Imigresen Malaysia dipercayai palsu, pasport tamat tempoh serta telefon bimbit.

"Susulan itu polis kemudian membuat tangkapan kedua di sebuah rumah dan menahan tiga lagi suspek lelaki termasuk seorang warga tempatan," katanya ketika dihubungi.

Menurut beliau, kesemua mereka yang berusia antara 35 hingga 40 tahun itu ditahan pihaknya untuk siasatan bagi mengenal pasti jika ada membabitkan sindiket.

"Sehingga ini JSJK menerima dua laporan polis mengenai maklumat pengenalan diri digunakan individu warga asing bagi tujuan pendaftaran suntikan vaksin Covid-19 melalui MySejahtera.

"Kesemua mereka kini direman sehingga 27 Ogos ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu menggunakan identiti lain," katanya.

Mengulas lanjut, Sundra Rajan berkata, suspek warga asing turut disiasat mengikut Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 15(1)(c) akta sama.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Ogos 2021 @ 4:24 PM