SEJUMLAH wang tunai dan telefon bimbit antara yang dirampas dalam Ops Pelican di Alai Perdana. FOTO IHSAN POLIS
SEJUMLAH wang tunai dan telefon bimbit antara yang dirampas dalam Ops Pelican di Alai Perdana. FOTO IHSAN POLIS
Nuraliawati Sabri


Melaka: Sembilan ahli sindiket penipuan pinjaman wang warga China ditahan dalam serbuan ke atas tiga banglo di Alai Perdana di sini, kelmarin.

Serbuan dilakukan anggota dan pegawai Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka dalam Ops Pelican di tiga lokasi berasingan di kawasan sama.

Ketua JSJK Negeri Melaka, Superintendan E Sundra Rajan berkata, semua yang ditahan membabitkan lima lelaki dan empat wanita berusia antara 25 hingga 35 tahun.

"Suspek dipercayai menjalankan aktiviti penipuan pinjaman wang dengan mensasarkan mangsa yang juga dari negara China.

"Hasil soal siasat dijalankan mendapati kegiatan penipuan ini sudah beroperasi sejak Februari 2021 dan suspek berperanan mencari mangsa di laman sosial dan menawarkan pinjaman wang," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, semua suspek ditawarkan gaji antara RM3,000 hingga RM4,000 sebulan bagaimanapun sehingga kini mereka masih belum menerima sebarang bayaran.

"Pemeriksaan mendapati suspek mempunyai dokumen perjalanan namun siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengesahkan sama ada ia dokumen sah atau sebaliknya.

"Antara yang dirampas dalam serbuan itu adalah 14 telefon bimbit pelbagai jenama, buku skrip Bahasa Mandarin, pasport dan wang tunai RM31,850," katanya.

Sundra Rajan berkata, semua suspek kini direman empat hari sehingga 2 Mei bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 402/ 511 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 April 2021 @ 3:34 PM