Nuraliawati Sabri


Melaka: Sekumpulan penjenayah Geng 36 kempunan menikmati hasil samun berjumlah RM1.2 juta apabila lima ahli kumpulan itu dicekup polis tiga hari selepas menyamun seorang ahli perniagaan.

Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata, serbuan itu dilakukan pihaknya Isnin lalu selepas menerima laporan daripada lelaki berusia 54 tahun yang menyatakan dia disamun empat lelaki ketika berada di rumahnya di Klebang, 4 Jun lalu.

Beliau berkata, susulan itu satu pasukan khas ditubuhkan sebelum menyerbu sebuah rumah di Bandar Baru Sri Petaling, Kuala Lumpur pada 7 Jun kira- kira 3.45 petang dan menahan lima lelaki berusia 27 hingga 37 tahun.

"Kita juga merampas semula barangan disamun seperti wang tunai, barangan kemas, koleksi pedang dan sebuah Range Rover milik mangsa serta dua kenderaan digunakan suspek untuk melakukan samun iaitu pacuan empat roda Toyota Hilux dan Vellfire.

"Siasatan mendapati mereka menggunakan surat Kementerian Perdagangan Antarabangsa Dan Industri (MITI) sebagai dokumen pergerakan rentas negeri," katanya.

ANTARA barang rampasan kes samun dianggarkan bernilai RM 1.2 juta. FOTO SYAFEEQ AHMAD
ANTARA barang rampasan kes samun dianggarkan bernilai RM 1.2 juta. FOTO SYAFEEQ AHMAD

Beliau berkata demikian pada sidang media yang turut dihadiri Timbalan Ketua Polis Melaka Senior Asisten Komisioner Razali Abu Samah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di Bukit Beruang, di sini, hari ini.

Abdul Majid berkata, ketika hari kejadian empat suspek dikatakan ke unit kondominium mewah mangsa dengan lagak seolah-olah tetamu kira-kira jam 8.30 malam sebelum mengikat pasangan suami isteri itu.

"Mangsa dan isteri berusia 42 tahun bukan sahaja diacukan pisau malah turut diikat kira-kira lima jam bagaimanapun dua anak mereka berusia lapan dan sembilan tahun tidak diapa-apakan.

"Ketika melakukan samun semua suspek tidak memakai topeng muka selain senjata digunakan juga dikatakan diambil dari rumah mangsa," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, semua suspek didapati terbabit dalam jenayah kongsi gelap selain memiliki rekod lampau membabitkan dadah dan jenayah.

"Mereka kini direman lima hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan Seksyen 379A kanun sama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Jun 2021 @ 2:18 PM