Meor Riduwan Meor Ahmad


Melaka: Polis menumpaskan sindiket penipuan pekerjaan tidak wujud rentas sempadan hasil penahanan lima suspek lelaki awal bulan ini.

Ketua Polis negeri, Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata, lima suspek termasuk seorang warga China itu ditahan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) dalam serbuan di sebuah banglo di sini pada 1 Mac lalu.

Katanya, anggota sindiket berusia 25 hingga 30 tahun itu dipercayai aktif sejak Februari lalu dengan menawarkan pekerjaan menjual tiket wayang dengan menyasarkan mangsa di China.

"Sindiket ini menjadikan Melaka sebagai pusat operasi mereka dengan merekrut warga tempatan menjadi pekerja manakala mangsa pula adalah rakyat di China.

"Hasil soal siasat kita dapati lelaki warga China itu adalah dalang utamanya, manakala empat lelaki tempatan itu hanya bekerja.

"Semua mereka semua dibayar gaji antara RM3,000 hingga RM5,000 untuk mencari mangsa dan meyakinkan mangsa menggunakan aplikasi WeChat dan Telegram.

"Tawaran kerja sebagai penjual tiket wayang di China dan bayaran pula diuruskan sindiket lain," katanya memaklumkan empat suspek tempatan itu tidak mengetahui mereka turut ditipu dalam melakukan pekerjaan itu.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalannya, Datuk Razali Abu Samah dan Ketua JSJK negeri, Superintendan E Sundra Rajan.

Abdul Majid berkata, dalam serbuan bersama JSJK Bukit Aman itu, polis merampas telefon bimbit, komputer riba dan Wifi.

"Semua barang kes dihantar ke Bahagian Forensik JSJK Bukit Aman untuk analisa bagi mengetahui maklumat lanjut berkaitan kegiatan sindiket itu.

"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Menurutnya, empat suspek tempatan itu diberi jaminan polis selama sebulan manakala suspek warga China masih direman dan disiasat mengikut Akta Imigresen sehingga 21 Mac depan.

"JSJK Melaka juga sedang mengesan seorang wanita China berusia 25 tahun dipercayai ahli sindiket yang masih bebas.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat suspek diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Alif Syazwan Idris di talian 017-9181759," katanya.

Dalam perkembangan sama, Abdul Majid menjelaskan kes pembelian barang tidak wujud di negeri ini menunjukkan penurunan, manakala kes tawaran kerja tidak wujud meningkat mendadak.

"Kita tidak dapat pastikan kaitannya dengan pandemik Covid-19. Tapi daripada kajian kita dapati kes tawaran kerja tidak wujud meningkat mendadak sebanyak 88.5 peratus di Melaka.

"Jadi saya nasihatkan orang ramai sentiasa berhubung dengan polis jika terdapat keraguan kerana bilik gerakan kita beroperasi 24 jam, selain pegawai di JSJK kita sentiasa sedia membantu.

"Jangan mudah percaya dengan pelbagai tawaran termasuk di FB bagi mengelak jadi mangsa penipuan," katanya.

GAMBAR suspek termasuk wanita yang masih bebas yang dipercayai menjalankan kegiatan penipuan tawaran pekerjaan tidak wujud. FOTO Syafeeq Ahmad
GAMBAR suspek termasuk wanita yang masih bebas yang dipercayai menjalankan kegiatan penipuan tawaran pekerjaan tidak wujud. FOTO Syafeeq Ahmad

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Mac 2022 @ 3:51 PM